Jumaat, 19 Januari 2024 | 3:53pm
Jalady (empat dari kiri) bersama Jeffri (lima dari kanan) ketika majlis taklimat prestasi jualan 2023 BMW Group Malaysia dan pembukaan pusat pengedaran BMW Auto Bavaria Balakong di Seri Kembangan hari ini - Gambar ihsan BMW Group Malaysia
Jalady (empat dari kiri) bersama Jeffri (lima dari kanan) ketika majlis taklimat prestasi jualan 2023 BMW Group Malaysia dan pembukaan pusat pengedaran BMW Auto Bavaria Balakong di Seri Kembangan hari ini - Gambar ihsan BMW Group Malaysia

BMW kekal kenderaan premium nombor satu di Malaysia

SERI KEMBANGAN: BMW Group Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu untuk tahun keempat berturut-turut di Malaysia apabila menjual lebih 15,012 unit BMW, MINI dan BMW Motorrad tahun lalu, kejayaan yang bermakna sempena ulang tahun ke-20 operasi syarikat itu di negara ini.

Jenama BMW berjaya sekitar 11,699 kenderaan pada 2023, sementara MINI merekodkan pertumbuhan 41.9 peratus dengan lebih 1,750 kenderaan yang berjaya diserahkan.

BMW Motorrad pula menyaksikan pertumbuhan sebanyak 13.4 peratus dengan lebih 1,563 motosikal yang diserahkan.

Pencapaian berkenaan juga turut menyaksikan BMW Group Malaysia memperkukuhkan kedudukan sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) nombor satu dengan penyerahan lebih 3,600 unit EV BMW, MINI dan BMW Motorrad yang merangkumi 24.5 peratus daripada jumlah penyerahan tahun lalu.

Ia mewakili pertumbuhan 136 peratus berbanding tahun sebelumnya, dengan EV premium BMW di jalan raya Malaysia mencecah hampir 30,000 unit.

Naib Presiden dan Ketua MINI Rantau Asia, Eropah Timur, Timur Tengah, Afrika BMW Group, Pierre Jalady, berkata model kenderaan BMW i mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, khususnya melalui pengenalan BMW iX1, BMW iX, BMW i7, MINI Electric dan jentera elektrik yang sulung dalam arena mobiliti bandar, BMW CE 04.

"Sambutan terhadap kenderaan ini membolehkan kita meraih gelaran pembekal kenderaan elektrik premium nombor satu di Malaysia, satu pencapaian yang sangat dibanggakan kerana ia membuktikan matlamat untuk mencorak, meneraju dan menjamin masa depan landskap automotif Malaysia, dengan penawaran teknologi terbaharu daripada BMW Group," katanya pada taklimat media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Datuk Jeffri Salim Davidson,

Jalady berkata, prestasi BMW Group di Malaysia mencerminkan kejayaan jenama itu di peringkat global, dengan lebih 2,500,000 kenderaan yang diserahkan merentasi portfolio jenama itu di seluruh dunia, menjadi rekod jualan yang tertinggi setakat ini.

"Prestasi kenderaan elektrik daripada portfolio BMW Group juga berkembang dengan pesat pada 2023, menyumbang kepada 15 peratus daripada seluruh penyerahan yang dibuat oleh BMW Group, menekankan peranan rintis pengeluar kenderaan premium ini dalam segmen kenderaan elektrik di serata dunia," katanya.

Untuk memangkin lagi penerimagunaan kenderaan elektrik, BMW Group Malaysia terus memaksimumkan usaha dalam menyebarluas rangkaian pengecasan awamnya di seluruh negara sepanjang 2023.

Setakat ini, BMW Group Malaysia menyediakan lebih 1,700 fasiliti pengecasan di dalam rangkaiannya untuk kegunaan pelanggan, dengan akses ke atas lebih 400 daripada kemudahan itu disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech,

Sementara itu, usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses ke atas lebih 100 kemudahan pengecasan, Gentari dengan lebih 150 kemudahan, serta kira-kira 160 kemudahan lagi daripada rakan niaga baharu seperti ChargeN'Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking.

Di samping itu, setakat tahun lalu, lebih daripada 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI j disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi rakan kongsi di serata negara, dengan rancangan untuk meluaskan lagi infrastruktur strategik rangkaiannya tahun ini.

Tahun lalu menyaksikan 19 model dan varian baharu dalam portfolio BMW Group Malaysia diperkenalkan dengan lapan daripadanya ialah 100 peratus elektrik.

Dalam acara sama, BMW Group Malaysia dan Auto Bavaria, rangkaian pusat pengedaran BMW bertauliah yang terbesar di Malaysia juga telah melancarkan bilik pameran canggih mereka yang terbaharu, dibina menerusi konsep Retail.NEXT

Selain itu, BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW X5 xDrive50e M Sport baharu pemasangan tempatan (CKD).

Hadir dengan pakej M Sport secara standard, BMW X5 xDrive50e bakal ditawarkan pada harga anggaran bermula RM530,000.

Berita Harian X