Khamis, 18 Januari 2024 | 1:18pm
Gambar fail. BYD Dolphin EV. - Reuters
Gambar fail. BYD Dolphin EV. - Reuters

Lonjakan penggunaan kereta elektrik, hibrid dijangka berterusan

KUALA LUMPUR: Lonjakan ketara jualan kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) kepada hampir 70 peratus pada 2023, dijangka meningkatkan tahap penggunaannya tahun ini, sekali gus membuktikan bahawa keyakinan pengguna sebaik baik untuk jentera berkaitan.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Syahril Hanafiah, berkata jualan xEV mencecah 38,055 unit atau sekitar 5.0 peratus tahun lalu dan dijangka berlegar pada paras semasa, sebelum membuka laluan kepada lonjakan lebih ketara selepas 2025.

Katanya, jangkaan itu selaras dengan tamatnya tempoh harga lantai RM100,000 untuk EV import sepenuhnya (CBU) dan pengeluar kereta tempatan mula menawarkan model kereta EV mereka sendiri.

"Jualan EV (kereta elektrik) meningkat lebih tiga kali ganda atau 286 peratus tahun ke tahun kepada 10,159 unit tahun lalu dengan membentuk 1.3 peratus daripada jumlah keseluruhan industri (TIV) berbanding angka kecil 0.4 peratus pada tahun 2022.

"Menuju ke 2024, kami ramalkan lebih banyak EV akan diguna pakai oleh pengguna jalan raya susulan pelancaran model kereta berharga bawah RM250,000 baru-baru ini seperti Tesla Model 3 dan Model Y, Neta Model V Smart #1," katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam ruang EV, BYD dilihat menerajui penggunaan EV dalam pasaran tempatan apabila ia menguasai 37 peratus daripada pasaran EV tempatan keseluruhan pada 2023, dan pencapaian itu diraih hanya dalam masa sembilan bulan sejak kemasukannya ke pasaran Malaysia.

Industri automotif Malaysia merekodkan pencapaian baharu dari segi prestasi jualan dengan TIV sebanyak 799,731 unit pada 2023.

Jumlah TIV itu juga adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif negara, selain rekod kali kedua berturut-turut melebihi 700,000 unit walaupun berdepan pelbagai cabaran luaran dan domestik.

Pencapaian tahun lalu itu adalah peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding jumlah TIV yang direkodkan pada 2022 iaitu sebanyak 721,177 unit.

"Kami yakin angka tinggi ini dipacu oleh permintaan terpendam dan juga pelancaran model kereta baharu.

"Lebih penting lagi, TIV bagi separuh kedua 2023 menokok 18 peratus lebih tinggi berbanding separuh pertama memandangkan syarikat automotif berusaha keras sehabis mungkin untuk memastikan tempahan kereta berjaya diserahkan kepada pelanggan," tambah Syahril.

RHB Investment Bank berkata, bahagian pengeluaran juga menyaksikan catatan tertinggi sekali lagi apabila jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) pada 2023 mencecah 774,600 unit.

"Kenaikan tahun ke tahun ini disumbang oleh pengeluar kereta tempatan, iaitu Proton (naik 7.0 peratus) dan Perodua (menokok 18 peratus), manakala bagi pengeluar kereta bukan nasional, pengeluaran kereta Toyota dan Honda masing-masing naik 2.0 dan 6.0 peratus.

Syahril berkata, TIV 2024 dijangka mencecah 625,000 unit, susut 22 peratus daripada asas tinggi 2023.

"Selaras dengan purata 10 tahun, kami membuat andaian TIV lebih rendah berpandukan kurangnya faktor menggalakkan untuk jualan automotif mencatat rekod tertinggi sekali lagi pada 2024.

"Malahan, jualan kereta yang teguh dalam tempoh dua tahun lalu juga mencerminkan pembelian barangan mahal yang sudah lama ditangguhkan dari tahun-tahun ketika melandanya pandemik, iaitu 2020 dan 2021 yang mendapat rangsangan besar daripada pengecualian cukai jualan.

"Pelancaran model mampu milik pada dua tahun lalu seperti model Perodua Myvi yang dipertingkatkan, model Axia serba baharu, dan model Proton Saga 2022 juga melonjakkan permintaan pasaran untuk kereta nasional," katanya.

Berita Harian X