Rabu, 17 Januari 2024 | 1:01pm
Model smart #1
Model smart #1

200 kereta smart #1 didaftar sejak dilancarkan

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kurang daripada dua bulan sejak pelancaran pada 21 November 2023, smart Malaysia mencatatkan kejayaan luar biasa sebanyak dengan 200 unit pendaftaran untuk smart #1.

Maklum balas daripada pengguna adalah amat positif untuk model yang mempunyai teknologi canggih dalam kenderaan, ekosistem yang teruji, kemudahan pembelian serta reka bentuk yang menarik, selain didatangkan dalam pelbagai warna yang memukau.

Model smart #1 menonjol di pasaran dengan sentuhan unik daripada Mercedes dan teknologi canggih daripada Geely.

Dengan permulaan tahun baharu, smart Malaysia mengumumkan penambahbaikan kepada aplikasi Hello Smart, memberikan pengguna pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan mudah.

Aplikasi yang dikemas kini itu memudahkan pembayaran dengan kad debit atau kredit, membolehkan pemilik membayar dan mengecaj kenderaan mereka, atau membeli data internet dalam kereta secara langsung melalui aplikasi.

Harga data internet adalah 1 gigabait (GB) untuk RM8, 3GB untuk RM21 dan 5GB untuk RM30.

Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang, berkata aplikasi Hello smart yang dinaik taraf ini boleh mengubah perjalanan pemilik kereta semasa perayaan.

"Aplikasi ini kini berfungsi sebagai teman perjalanan peribadi anda, menyediakan lebih daripada 70 peratus maklumat hentian pengecasan awam dan ia memperkenalkan pengalaman pembayaran yang lancar dengan kad kredit atau debit.

"Penambahan ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan pengalaman perjalanan yang luar biasa," katanya dalam satu kenyataan.

Keistimewaan utama dalam Aplikasi Hello smart ialah peta pengecasan terintegrasi, memberikan akses kepada 70 peratus stesen pengecasan awam di seluruh negara.

Ini tidak hanya mengurangkan kebimbangan pemilik kenderaan elektrik (EV) mengenai jarak, tetapi juga menjadikan perancangan perjalanan semakin mudah dengan stesen pengecas yang tersedia sepanjang laluan.

Selain itu, aplikasi ini juga memudahkan proses permohonan pinjaman, menetapkan piawai baharu untuk pemilikan EV yang lebih mudah diakses.

smart Malaysia juga memperkenalkan peluang eksklusif kepada semua peminat untuk merasai keseronokan memandu smart #1 dengan memenuhi impian perjalanan melalui percutian yang ditanggung sepenuhnya, menerusi peraduan media sosial 'The Long Drive'.

Pemenang bertuah akan ke Melaka dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya.

Antara hadiah lain termasuk e-dompet Touch 'n Go bernilai sehingga RM200 dan paket Angpao smart edisi terhad.

Berita Harian X