Selasa, 16 Januari 2024 | 12:03pm
TIV pada 2023 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 2022 -NSTP/Aizuddin Saad
TIV pada 2023 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding 2022 -NSTP/Aizuddin Saad

Jualan kereta hampir cecah 800,000 unit tahun lalu

PETALING JAYA: Industri automotif Malaysia merekodkan pencapaian baharu dari segi prestasi jualan dengan jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 799,731 unit pada 2023.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain, berkata jumlah TIV itu juga adalah yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah industri automotif negara.

Beliau berkata, jumlah tahunan TIV pada 2023 adalah kali kedua berturut-turut melebihi 700,000 unit walaupun berdepan pelbagai cabaran luaran dan domestik.

Katanya, pencapaian tahun lalu itu adalah peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding jumlah TIV yang direkodkan pada 2022 iaitu sebanyak 721,177 unit.

"Faktor yang menyumbang kepada prestasi cemerlang pada 2023 itu adalah pemenuhan tempahan kereta bebas cukai yang diterima, sebahagian besar daripadanya adalah didaftarkan sebelum 31 Mac 2023.

"Selain itu, persekitaran sosiopolitik yang lebih stabil berikutan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) turut memberi kesan positif sekaligus memberikan ekonomi domestik yang berdaya tahan.

"Pelancaran model baharu termasuk kenderaan elektrik dengan harga yang sangat kompetitif turut membantu merangsang jualan selain rantaian bekalan industri yang lebih baik. Terima kasih kepada kerajaan kerana memacu negara ke arah kestabilan politik dan mencapai banyak kejayaan," katanya selepas taklimat media MAA mengenai prestasi TIV 2023 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shamsor berkata segmen kenderaan penumpang dan komersial mencatatkan pertumbuhan jualan.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran kenderaan penumpang baharu pada 2023 meningkat kepada 719,160 unit daripada 642,157 unit pada 2022, peningkatan sebanyak 77,003 unit atau 12 peratus, sebahagian besarnya disebabkan oleh prestasi jualan yang kukuh dua jenama kenderaan nasional iaitu PERODUA dan PROTON.

"Gabungan bahagian pasaran kedua-dua jenama itu meningkat kepada 66.9 peratus (481,300 unit) pada 2023 berbanding 65.1 peratus (418,045 unit) pada 2022.

"Sementara itu, jenama kenderaan bukan nasional mencatatkan jumlah jualan yang lebih tinggi sebanyak 237,860 unit atau pertumbuhan enam peratus berbanding 2022 iaitu sebanyak 224,112 unit," katanya.

Ditanya mengenai prestasi jualan semua jenis kenderaan elektrifikasi (xEV) pula, Mohd Shamsor berkata, ia menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya

Beliau berkata, xEV menyumbang sekitar lima peratus daripada TIV, menunjukkan momentum positif yang berterusan untuk permintaannya.

Jualan xEV itu, katanya melonjak sebanyak 69 peratus daripada 22,619 unit pada 2022 kepada 38,055 unit, dengan10,159 unit kenderaan elektrik (EV) dan 28,055 unit kenderaan hibrid.

Katanya, MAA optimis permintaan dan minat xEV akan terus berkembang tahun ini berdasarkan sokongan berterusan kerajaan untuk mempromosikan penggunaannya dan pelancaran model baharu xEV.

"Tahun ini, kami memyasarkan jumlah jualan xEV akan meningkat kepada 10 peratus berdasarkan kepada pertumbuhan ekosistem EV selain sokongan berterusan kerajaan," katanya.

Melangkah ke hadapan, Mohd Shamsor berkata, walaupun TIV pada 2023 melebihi sasaran dan berada di tahap baharu, MAA merendahkan sasaran TIV pada tahun ini.

Beliau berkata, TIV pada 2024 diunjurkan berada pada 740,000 unit, 7.5 peratus lebih rendah daripada 2023.Daripada jumlah itu, kenderaan penumpang dijangka akan berada pada 666,000 unit dan kenderaan komersial sekitar 74,000 unit. .

Katanya, sasaran yang rendah itu adalah berdasarkan kepada situasi ekonomi semasa selain mengambil kira krisis global.

"Kami merasakan perbelanjaan pengguna mungkin perlahan disebabkan kebimbangan terhadap rasionalisasi subsidi yang disasarkan, kos sara hidup yang tinggi, pelaksanaan cadangan Cukai Barangan Mewah dan kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi untuk beberapa perkhidmatan termasuk pembaikan serta penyelenggaraan kenderaan bermotor," katanya.

Berita Harian X