Ahad, 14 Januari 2024 | 10:29am
Gambar fail. Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Charles Frump. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Gambar fail. Pengarah Urusan Volvo Malaysia, Charles Frump. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Volvo harap cukai barang nilai tinggi tidak jejas penggunaan EV

KUALA LUMPUR: Volvo Malaysia berharap Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi akan diberi pertimbangan teliti bagi memastikan cukai berkenaan tidak menjejaskan usaha bersepadu untuk menarik rakyat Malaysia beralih kepada kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Urusannya Charles Frump berkata pengeluar kereta Sweden itu masih menunggu butiran mengenai cukai itu, seandainya ia menjejaskan EV maka insentif semasa untuk penggunaan EV mungkin akan turut terkesan.

"Pada masa ini, insentif adalah permulaan yang baik untuk menggalakkan penggunaan kereta EV tetapi pada masa sama, EV kini semakin menghampiri segmen premium dan mewah berbanding kereta petrol berdasarkan harga runcitnya," kata Frump pada satu temu mengenai prestasi jualan Volvo Car Malaysia 2023 baru-baru ini.

Beliau juga menekankan bahawa pengguna kurang bermotivasi untuk beralih kepada EV memandangkan harga petrol negara yang rendah manakala pasaran lain melihat perbezaan yang cukup besar dalam harga bahan api (petrol berbanding EV) kerana sesuai daripada segi ekonomi.

"Memandangkan terdapat perbincangan mengenai pengenalan subsidi petrol yang berbeza untuk kumpulan pendapatan yang berbeza, pengumuman itu mungkin mencetuskan minat terhadap penggunaan EV," kata Frump.

Pada 2 November 2023, kerajaan mengumumkan bahawa HVGT akan dikenakan pada kadar 5.0 hingga 10.0 peratus untuk barang bernilai tinggi seperti jet peribadi, kapal layar, barang kemas dan kereta mewah mulai 1 Mei 2024.

Bagaimanapun, kerajaan masih belum mengumumkan mekanisme pelaksanaan HVGT yang tepat, barangan dilindungi dan kadar cukai kerana ia masih belum dimuktamadkan.

Terdapat juga ambang untuk permohonan cukai seperti kereta berharga melebihi RM200,000, jam tangan berharga lebih RM20,000 dan barang kemas bernilai RM10,000 dan ke atas.

Mengenai insentif EV, Malaysia pada masa ini menawarkan pengecualian duti eksais, cukai jualan dan cukai import untuk komponen EV pemasangan tempatan sehingga tahun 2027; pengecualian duti import dan eksais untuk EV yang diimport sepenuhnya sehingga 2025; dan pengecualian cukai penuh untuk pengeluar peralatan pengecasan EV sehingga 2032.

Sementara itu, mengulas mengenai segmen EV Volvo Malaysia, Frump berkata beliau yakin mengenai prestasi jualan syarikat tahun ini, dipacu oleh kenderaan utiliti sukan terkecil yang akan akan berada di pasaran kelak iaitu Volvo EX30.

"Kami tidak melancarkan sebarang produk tahun lepas. Walaupun sedikit ketinggalan tanpa produk baharu tahun lepas, kami gembira untuk mempertahankan bahagian kami dalam segmen SUV kecil, sederhana dan besar," katanya.

Volvo Car Malaysia mengakhiri tahun 2023 dengan campuran jualan yang lebih tinggi bagi segmen elektrik sepenuhnya (BEV) yang menyumbang 18 peratus daripada jumlah jualan runcitnya dan mewakili peningkatan sebanyak 37 peratus tahun ke tahun.

Rangkaian Recharge pengeluar kereta itu termasuk BEV dan 'plug-in hybrids' (PHEV) membentuk 71 peratus daripada jumlah jualan runcitnya untuk tahun itu.

Tahun lalu, Volvo Car Malaysia menjual sebanyak 2,694 kereta pada 2023 berbanding 3,194 pada 2022, ia adalah tahun yang memberangsangkan bagi industri automotif berikutan penamatan sekatan perjalanan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ditambah dengan pelbagai insentif kerajaan untuk memulihkan ekonomi tempatan.

Di seluruh dunia, Volvo Cars telah mencipta rekod jualan baharu dengan 708,716 kereta terjual pada 2023, peningkatan sebanyak 15 peratus tahun ke tahun, membuktikan bahawa portfolio produk elektrik Volvo Cars yang kukuh dengan kombinasi rantaian bekalan lebih stabil.

Volvo Cars turut menyaksikan peningkatan ketara dalam jualan kereta elektriknya tahun lepas, menjual 113,419 kereta elektrik sepenuhnya (peningkatan 70 peratus tahun ke tahun) dan 152,561 kereta 'hibrid plug-in' (peningkatan 10 peratus tahun ke tahun).

Jualan kereta elektrik sepenuhnya menyumbang 16 peratus daripada semua kereta Volvo yang dijual di seluruh dunia sepanjang 2023. – Bernama

Berita Harian X