Sabtu, 13 Januari 2024 | 11:27am
Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X.
Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X.

Triumph Speed 400, Scrambler 400X dijangka tiba di pasaran akhir bulan hadapan

KUALA LUMPUR: Triumph Speed 400 dan Scrambler 400X, model kapasiti sederhana jenama ikonik British, dijangka tiba di pasaran Malaysia dan boleh diserahkan kepada pelanggan yang sudah menempahnya menjelang hujung bulan hadapan, justeru memperhebatkan lagi persaingan dalam segmen pertengahan motosikal 300cc hingga 700cc di negara ini.

Ini juga menandakan pertaruhan baharu Triumph Motorcycles Ltd dalam arena permotoran global termasuk Malaysia dengan memperkenalkan motosikal berenjin lebih kecil TR Series iaitu satu silinder 398cc DOHC yang mematuhi Euro 5 dengan empat injap. Ia setelah memperkenal model Trident 660 dan Tiger Sport 660 sebelum ini.

Dengan harga amat menarik lebih mampu milik iaitu RM26,900 bagi Speed 400 dan RM29,900 bagi Scrambler 400X, menjadikannya adalah antara model yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat motosikal di Malaysia pada tahun ini.

Dibangunkan di ibu pejabat Triumph Motorcycles di Hinckley United Kingdom (UK) dan dikilangkan di India oleh Bajaj, selain di Thailand serta Brazil, Speed 400 dan Scrambler 400X berkongsi DNA reka bentuk yang hampir sama seperti 'abang-abangnya', justeru akan menyertai tawaran barisan sedia ada motosikal klasik moden Triumph iaitu Speed Twin 900 dan 1200 serta Scrambler 900 dan 1200.

Triumph Speed 400.
Triumph Speed 400.

Triumph Speed 400

Triumph Speed 400 2024 adalah model 'stylo roadster sport' yang lebih kecil dan ringan dikuasakan enjin penyejukan cecair DOHC serba baharu yang mana sesuai untuk kegunaan harian serta pada hujung minggu dengan karektor mesra tunggangan di bandar yang sibuk dan santai pada hujung minggu.

Dibangunkan dengan kerjasama dari segi kejuruteraan dengan Bajaj Auto India, ia dilengkapi sistem EFI Bosch 'ride-by-wire' dengan kuasa maksimum 40 hp pada 8,000 rpm.

Kemuncak tork pula adalah 6500 rpm, dengan 37.5 nm, manakala garis merah pada 9000 rpm. Angka ini mencerminkan keupayaannya memecut di jalan raya dan kepuasan melungsuri jalan serta lorong kecil di luar bandar.

Transmisi enam kelajuan berserta klac dengan fungsi 'assist and slip', selain kawalan traksi (traction control) pada model standard, ia adalah satu tawaran yang menarik.

Juga menarik apabila Speed 400 dilengkapi dengan casis serba baharu; lengan ayun aluminium; sub-frame belakang 'bolt-on'; fork Showa Big Piston 43mm terbalik (USD).

Meskipun terdapat hanya satu cakera brek pada roda hadapan dan belakang aloi aluminium 10 jejari bersaiz 17 inci, namun sistem ABS dua saluran Bosch padanya memadai untuk memberhentikan motosikal ini dengan stabil meskipun dalam kelajuan tinggi.

Kedudukan atau ergonomik yang menegak dengan ketinggian tempat duduk adalah 31.1 inci boleh dilaraskan, dan berat basah 170 kilogram (kg), ia selesa untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja khususnya mereka yang baru berjinak dengan motosikal. Kapasiti tangki petrol walaupun agak kecil tetapi tidaklah mengecewakan iaitu 13 liter dengan anggaran penggunaan bahan api 3.5L/100km.

Ia mempunyai meter kelajuan gaya analog, banyak lampu amaran dan paparan sisi LCD. Selain itu terdapat soket USB-C membolehkan pemilik mengecas telefon pintar atau peralatan GPS.

Triumph Scrambler 400X.
Triumph Scrambler 400X.

Triumph Scrambler 400X

Triumph sedang mengembangkan barisan Scrambler dengan Triumph Scrambler 400 X 2024 serba baharu dengan enjin satu silinder tunggal pertama syarikat Britain itu sejak model T25T Trail Blazer pada awal 1970-an.

Untuk Scrambler 400X, roda hadapan 19-inci dengan jarak roda yang lebih panjang iaitu 1,418 mm berbanding 1,377 mm pada Speed 400, manakala suspensi hadapan menggunakan fork terbalik (USD) dengan 150 mm jarak hentakan.

Monoshock dengan suspensi boleh laras pra-muatan memegang bahagian belakang Scrambler 400X dengan 150 mm perjalanan roda.

Roda itu menjadikan Scrambler 400X sebagai motosikal yang boleh ditunggang lasak di luar jalan raya, walaupun ia tidak mempunyai roda jejari, selain daripada untuk kegunaan harian di atas jalan raya. Model ini mempunyai casis yang geometrinya berbeza daripada Speed 400.

Scrambler mempunyai trial 4.3 inci, peningkatan sebanyak 0.3 inci berbanding Speed, manakala tempat duduk Scrambler 400X adalah 32.8 inci dari tanah, 1.7 inci lebih tinggi daripada Speed 400.

Sementara itu, berat basah Scrambler 400X adalah 179 kg iaitu 9 kg lebih berat berbanding Speed 400. Ia susulan roda hadapan Scrambler berdiameter lebih besar, suspensi dengan jarak hentakan yang lebih panjang; penambahan jarak roda; cakera brek hadapan yang lebih besar; bar hendal yang lebih lebar; pelindung tangan; cermin berbeza serta pedal brek yang lebih besar.

Scrambler mempunyai dua slot tempat duduk, berbanding satu tempat duduk panjang pada Speed. Enjin pada kedua-dua model ini adalah sama.

Ia dilengkapi sistem penyalaan bahan api Bosch ride-by-wire, satu mod kuasa dan kawalan cengkaman (TC) adalah standard.

Berita Harian X