Sabtu, 13 Januari 2024 | 10:01am
Charles Frump bersama kereta XC40 Recharge Pure Electric.
Charles Frump bersama kereta XC40 Recharge Pure Electric.

VCM kekal komited jadi syarikat EV sepenuhnya

Berbaki kurang tujuh tahun lagi, Volvo Car Malaysia (VCM) terus komited menjadi syarikat jentera elektrik sepenuhnya menjelang 2030, selaras dengan komitmennya memperkenalkan rangkaian komprehensif kenderaan elektrik bateri (BEV) ke pasaran domestik.

Sejajar dengan usahanya ke arah kelestarian, pengeluar jenama mewah dari Sweden itu akan memperkenalkan barisan model elektrik penuh serba baharu termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak paling dinantikan, EX30 tahun ini.

Langkah lebih agresif dengan menampilkan barisan versi kenderaan bateri elektrik (BEV) baharu untuk model sedia ada tahun ini, termasuk XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric, selain memperkemaskan rangkaian produk hibrid plug-in (PHEV) menonjolkan komitmen jitu VCM di Malaysia.

Berkongsi matlamat utama VCM, Pengarah Urusannya, Charles Frump, berkata sebagaimana matlamat syarikat induk, Volvo Car Group (Volvo Cars) untuk menjadi syarikat neutral iklim menjelang 2040, jenama Volvo yang diasaskan pada 1966 di Malaysia menetapkan hala tuju jelas dalam aspirasi elektrifikasi, termasuk membabitkan aspek rantaian ekosistem pengeluaran dan pemasaran kenderaan.

Katanya, tidak hanya menghasilkan jentera PHEV dan BEV secara meluas di Malaysia, penekanan dalam pembangunan pusat pengedaran yang berpaksikan pelanggan dan kepentingan terhadap alam sekitar terus dijaga dengan sempurna.

Sejumlah 71 peratus jualan VCM pada 2023 disumbangkan oleh jentera BEV dan PHEV.
Sejumlah 71 peratus jualan VCM pada 2023 disumbangkan oleh jentera BEV dan PHEV.

"Semuanya bergantung kepada masa. Kami kekal optimis untuk menjadi syarikat elektrik tulen di Malaysia. Walaupun masih banyak perlu dilakukan dalam menuju ke 2030, kami tetap komited dalam membawakan pengalaman pemilikan era baharu kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia.

"Selain memperkenalkan model EV penuh, kami juga agresif membawakan jentera PHEV yang dilihat menyokong jumlah jualan saban tahun VCM di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, VCM mencatat pertumbuhan jualan kereta elektrik bateri (BEV) tahun lalu apabila melonjak 37 peratus tahun lalu berbanding 2022.

Lonjakan positif itu membolehkan jualan BEV Volvo membentuk 18.4 peratus daripada 2,694 unit yang didaftarkan sepanjang tahun lalu, manakala PHEV pula merangkumi 52.5 peratus daripada jumlah jualan tahun lalu.

Daripada jumlah jualan 2023, rangkaian varian Recharge merangkumi BEV dan PHEV membentuk 71 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Campuran jualan Recharge Volvo Car Malaysia juga meletakkan kumpulan itu dalam kalangan 15 pasaran global teratas Volvo Cars dengan purata campuran jualan global bagi varian terbabit berada pada 38 peratus tahun lalu.

Selain memiliki dua model EV penuh, XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric, VCM mengumumkan untuk memperkenal pengemaskinian dan perubahan dalam rangkaian PHEV baharu.

Frump berkata, usaha elektrifikasi VCM turut bagaikan mendapat sokongan kerajaan dan ditonjolkan menerusi inisiatif lanjutan pengecualian duti eksais, cukai jualan dan pengecualian cukai import bagi komponen EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 2027.

Katanya, langkah kerajaan menawarkan pengecualian duti import dan eksais untuk import sepenuhnya (CBU) EV sehingga 2025 dan pengecualian cukai penuh untuk pengeluar peralatan pengecasan EV sehingga 2032 juga memberi gambaran jelas kerajaan turut serius meningkatkan penggunaan kenderaan alaf baharu itu.

"Kita mengharapkan kerajaan akan mengecualikan Cukai Barang Bernilai Tinggi atau Cukai Barang Mewah ke atas kenderaan EV. Walaupun butirannya belum diumumkan, dengan pengecualian ini, ia akan dapat memacu sektor EV di Malaysia.

"Kita dapati ada ura-ura mengatakan Cukai Barang Mewah akan dikenakan untuk kenderaan bernilai RM200,000 ke atas. Namun, kita mengharapkan ia tidak tertakluk kepada EV," katanya.

Di peringkat global, Volvo Cars telah mencatat rekod jualan baharu dengan 708,716 kereta terjual sepanjang 2023, iaitu peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding 2022.

Berdasarkan jumlah jualan tertinggi yang dicatatkan Volvo Cars di peringkat dunia, model EVnya juga menyaksikan peningkatan jualan yang signifikan.

Pada 2023, Volvo Cars telah menjual sebanyak 113,419 unit EV penuh, meningkat sebanyak 70 peratus berbanding 2022, selain turut mendaftarkan 152,561 unit PHEV (meningkat 10 peratus berbanding 2022).

Penjualan EV penuh 16 peratus kepada jumlah keseluruhan kereta Volvo yang dijual di seluruh dunia pada 2023.

Dalam pada itu, Frump berkata, pendekatan elektrifikasi diselaraskan dalam aspek pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan, di mana semua 15 pusat pengedaran Volvo di seluruh negara akan dilengkapi lot pengecasan EV bagi memudahkan pelanggan.

"Dari aspek perkhidmatan selepas jualan pula, VCM menerusi pusat pengedaran Volvo akan memperkukuhkan kakitangan dengan latihan insentif untuk pembaikan kenderaan EV selepas kenderaan pembakaran dalaman (ICE) tidak lagi dikeluarkan menjelang 2030.

"VCM akan meningkatkan aspek perkhidmatan selepas jualan supaya kakitangan teknikal yang sebelum ini memiliki kepakaran dalam ICE mendapat latihan komprehensif untuk EV," katanya.

Berita Harian X