Jumaat, 12 Januari 2024 | 3:29pm
Jumlah jualan kenderaan diramalkan lebih rendah pada tahun ini - Gambar fail NSTP
Jumlah jualan kenderaan diramalkan lebih rendah pada tahun ini - Gambar fail NSTP

Penyasaran semula subsidi minyak boleh jejas jualan kereta

KUALA LUMPUR: Sentimen pembelian kenderaan dijangka terkesan oleh potensi peningkatan inflasi berikutan jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi yang disasarkan untuk RON95 pada separuh kedua 2024, demikian menurut penganalisis.

AmInvestment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, sentimen pengguna pada suku ketiga 2023 yang dikeluarkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) berada pada paras 78.9, terendah sejak suku kedua 2021 dan lebih rendah berbanding 90.8 yang dicatatkan pada suku kedua 2023.

Justeru, ia menjangkakan penggunaan swasta yang lebih rendah pada 2024 berikutan sentimen pengguna yang lemah.

"Ketidaktentuan boleh meningkat daripada potensi peningkatan kepada inflasi daripada jangkaan pelancaran rasionalisasi subsidi yang disasarkan untuk RON95 pada separuh kedua 2024, memberi kesan kepada pendapatan boleh guna benar pengguna, mengekang penggunaan dan pertumbuhan," katanya.

Sehubungan itu, AmInvestment Bank menjangkakan jumlah keseluruhan industri (TIV) sektor automotif pada separuh pertama 2024 dijangka perlahan.

Ia mengunjurkan TIV yang lebih rendah tahun ini iaitu susut enam peratus kepada 670,000 unit berbanding unjuran TIV oleh pihaknya sebanyak 710,000 unit pada 2023.

Katanya, jangkaan yang lebih rendah itu berikutan jualan kenderaan dijangka kembali normal selepas tamat tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada Jun 2022.

AmInvestment Bank juga menjangkakan jumlah pelancaran model baharu yang lebih sedikit pada separuh pertama tahun ini, justeru terdapat kemungkinan TIV tidak akan menyamai paras yang dicatatkan pada 2023.

Ia berkata, bagi PERODUA, segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B iaitu D6BB dijangka dilancarkan pada pertengahan 2024 manakala Perodua Bezza generasi seterusnya berkemungkinan akan tampil pada separuh pertama 2025.

"Jika model D6BB berharga kompetitif, kami menjangkakan prestasi jualan yang kukuh di tengah-tengah persaingan sengit dalam segmen pasaran SUV dini Malaysia. Ini berikutan penguasaan pasaran PERODUA yang terus kukuh dalam 10 bulan tahun lalu sebanyak 45.5 peratus," katanya.

Sementara itu, AmInvestment Bank berkata, Mazda masih belum mengumumkan pelancaran CX-60 baharu, tetapi baru-baru ini telah melancarkan versi 'facelift' 2024 untuk model Mazda CX-3 dan Mazda 2.

Selain itu, katanya, model CX-5 'facelift' akan dilancarkan pada penghujung Januari 2024, yang menjadi pemacu volum utama untuk Mazda.

Bagi Kia pula, ia berkata, model Sportage dan Caren serba baharu juga mungkin dalam perancangan.

Berita Harian X