Selasa, 9 Januari 2024 | 3:29pm
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump - Foto BERNAMA
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump - Foto BERNAMA

Jualan kereta bateri elektrik Volvo di Malaysia meningkat

KUALA LUMPUR: Volvo Car Malaysia mengekalkan rekod pertumbuhan jualan kereta elektrik bateri (BEV) tahun lalu apabila melonjak 37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lonjakan positif itu membolehkan jualan BEV Volvo membentuk 18.4 peratus daripada 2,694 unit yang didaftarkan sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah jualan 2023, rangkaian varian Recharge merangkumi BEV dan 'hibrid plug-in' (PHEV) membentuk 71 peratus jualan, sekali gus mengukuhkan lagi komitmen Volvo Car Malaysia untuk menjadi syarikat kereta elektrik sepenuhnya menjelang 2030.

Campuran jualan Recharge Volvo Car Malaysia juga meletakkan kumpulan itu dalam kalangan 15 pasaran global teratas Volvo Car Group (Volvo Cars), dengan purata campuran jualan global bagi varian terbabit berada pada 38 peratus tahun lalu.

Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump, berkata 2023 menjadi tahun transformatif kepada syarikat itu dalam peralihan ke arah masa depan elektrik sepenuhnya.

"Semua model elektrik penuh kami kini dijual terus pada platform dalam talian untuk perjalanan pemilikan yang selamat, telus dan tanpa kerumitan.

"Walaupun sedikit menunjukkan penurunan jualan, kami amat berbangga kerana telah mempertahankan bahagian segmen ini memandangkan kami berada di antara kitaran produk tanpa pelancaran baharu tahun lalu," katanya kepada media dalam satu temubual di sini, hari ini.

Volvo Car Malaysia menjual 2,694 unit kereta tahun lalu, susut berbanding 3,194 pada 2022.

Frump berkata, tahun lalu kekal menjadi tempoh yang memberangsangkan bagi industri automotif berikutan penarikan sepenuhnya sekatan akibat COVID-19, ditambah pula dengan pelbagai insentif kerajaan untuk memulakan semula ekonomi tempatan.

Beliau berkata, selepas mencatat pertumbuhan jualan tujuh tahun berturut sebelum 2023, Volvo Car Malaysia menjangkakan lonjakan berterusan tahun ini menerusi rancangannya memperkenalkan produk elektrik penuh serba baharu.

"Kami kekal teguh dan sejajar dengan kami untuk menjadi sebuah syarikat kereta premium elektrik penuh menjelang 2030," katanya.

Menuju ke hadapan, Frump berkata, langkah kerajaan melanjutkan insentif penggunaan kereta elektrik (EV) termasuk pengecualian duti eksais, cukai jalan dan pengecualian cukai import untuk komponen EV pemasangan tempatan (CKD) sehingga 2027 akan melonjakkan pasaran.

Di peringkat global, Volvo Cars mencatat rekod jualan baharu dengan 708,716 kereta terjual pada 2023, meningkat 15 peratus berbanding 2022.

Rekod tertinggi dalam sejarah itu mencerminkan pengukuhan portfolio produk elektrik yang digabungkan dengan persekitaran rantaian bekalan yang stabil.

Tahun lalu, Volvo Cars menjual 113,419 unit EV penuh, melonjak 70 peratus berbanding 2022.

Jualan EV Volvo mewakili 16 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kumpulan itu pada 2023.

Pada 2023, pengeluar jenama dari Sweeden itu turut menjual 152,561 unit PHEV, atau 10 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Berita Harian X