Jumaat, 5 Januari 2024 | 7:27pm
Jualan kereta UMWT pada 2023 tujuh peratus lebih tinggi daripada 2022 - Gambar fail NSTP
Jualan kereta UMWT pada 2023 tujuh peratus lebih tinggi daripada 2022 - Gambar fail NSTP

UMW Toyota Motor jual 108,107 unit kereta tahun lalu

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menutup 2023 dengan prestasi jualan positif selepas menjual 108,107 unit Toyota dan Lexus berbanding 101,035 unit pada 2022.

Pencapaian jualan UMWT tahun lalu, adalah tujuh peratus lebih tinggi berbanding 12 bulan 2022.

Bagi Disember, UMWT terus mencatatkan aliran jualan positif sebanyak 10,402 unit terdiri daripada 10,079 unit Toyota dan 323 unit Lexus.

Selain itu, UMWT turut merekodkan 1,342,130 pelanggan kembali kepada perkhidmatan selepas jualannya tahun lalu, sekali gus mempamerkan komitmen terhadap kepuasan pelanggan dan kecekapan penjagaan automotifnya.

Presiden UMWT, Datuk K Ravindran, berkata syarikat itu terus berusaha untuk menawarkan pengalaman mobiliti yang diperkaya menerusi jenama Toyota, selain meluaskan akses kepada pemilikan untuk bakal pelanggan.

"Komitmen kami untuk mencapai kecemerlangan dan memupuk inovasi dalam industri automotif kekal tidak berbelah bahagi, memastikan tawaran terbaik untuk pemandu dan pihak berkepentingan kami.

"Terima kasih kepada semua pelanggan kami atas sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sehingga ke akhir tahun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut UMWT, Toyota mengukuhkan komitmennya untuk menyokong matlamat bercita-cita tinggi Malaysia bagi mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050, sasaran penting di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Ravindran berkata, UMWT sentiasa mengekalkan standard dan kualiti tertinggi dalam kenderaan kami, ditambah pula dengan mengukuhkan kepuasan pelanggan.

"Sementara kami menantikan 2024, tumpuan kami adalah pada memperkenalkan lebih banyak model, terutamanya dengan penekanan pada teknologi xEV," katanya.

Berita Harian X