Jumaat, 5 Januari 2024 | 2:58pm
Sime Darby Motors mempamerkan barisan jenama automotif di bawah portfolio syarikat itu di kedai ‘popup’ pertama - Gambar ihsan Sime Darby Motors
Sime Darby Motors mempamerkan barisan jenama automotif di bawah portfolio syarikat itu di kedai ‘popup’ pertama - Gambar ihsan Sime Darby Motors

Sime Darby Motors buka kedai 'pop-up' pertama

PETALING JAYA: Sime Darby Motors membuka kedai 'pop-up' pertama terletak di pusat beli-belah 1 Utama, yang menampilkan barisan jenama automotif bertaraf dunia di bawah portfolionya termasuk BMW, MINI, BMW Motorrad, BYD, Hyundai dan Ford.

Usaha menarik ini menandakan satu peristiwa penting bagi Sime Darby Motors, membawa pengalaman automotif yang unik ke salah satu destinasi beli-belah utama negara.

Sime Darby Motors dalam satu kenyataan berkata, kedai 'pop-up' yang dibuka kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Mac 2024 itu terletak di Lot G102A tingkat bawah pusat beli-belah 1 Utama

"Pengunjung boleh menjangkakan barisan menarik model kenderaan elektrik (EV) terkini daripada BMW, MINI, Motorrad, BYD dan Hyundai serta model terbaru dari Ford turut tersedia untuk tontonan.

"BMW, simbol kecemerlangan automotif, mempamerkan BMW iX xDrive40, BMW iX xDrive50 Sport, BMW iX1, dan BMW i7 serba baharu yang mewah," katanya dalam satu kenyataan.

Sime Darby Motors berkata, model-model ini mewakili barisan hadapan mobiliti elektrik dan kemewahan, menggabungkan prestasi, kemampanan dan kemewahan.

Selain itu, katanya, barisan BMW seperti BMW Motorrad bersedia untuk menarik peminat dengan pameran tiga model menarik iaitu skuter elektrik canggih BMW CE04, skuter saiz sederhana premium BMW C400 GT dan BMW R9T.

"MINI, yang dikenali dengan reka bentuk ikonik dan kompak namun berkuasa, mempamerkan MINI Electric, bukti kepada pemanduan elektrik yang menyeronokkan.

"Sementara itu, BYD, perintis dalam kenderaan elektrik, mempamerkan BYD ATTO 3, BYD DOLPHIN, dan Edisi Ulang Tahun ATTO 3 khas. Setiap model mencerminkan dedikasi BYD terhadap inovasi dan mempamerkan evolusi jenama dalam mobiliti elektrik," katanya.

Ia menambah, pengunjung boleh menikmati barisan terbaharu Ford di kedai 'pop-up' itu, termasuk Ford Ranger Raptor, Ford Ranger Platinum Baharu, dan Ford Everest.

Model canggih terbabit bukan sahaja dipamerkan malah ia tersedia untuk diterokai oleh pelawat sebagai sebahagian daripada masa depan pemanduan mereka.

"Sime Darby Motors mempelawa peminat automotif, bakal pembeli dan orang ramai untuk melawat kedai 'pop-up' dan ini adalah peluang unik untuk semua orang menjadi sebahagian daripada pengalaman automotif yang luar biasa.

"Acara itu bukti komitmen Sime Darby Motors untuk menyediakan pengalaman automotif yang tiada tandingan dan mendekatkan jenama bertaraf dunia kepada pelanggan yang dihargai," katanya.

Berita Harian X