Selasa, 26 Disember 2023 | 7:50pm
Gambar fail. Logo VW. - AFP
Gambar fail. Logo VW. - AFP

Isu beg udara Takata: VW panggil balik 6,671 unit kenderaan

KUALA LUMPUR: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memanggil semula 6,671 unit model Volkswagen yang dikeluarkan antara 2010 hingga 2014 membabitkan kemungkinan isu beg udara Takata.

VPCM dalam satu kenyataan, berkata panggilan balik model terjejas iaitu Golf GTI generasi keenam, Eos, Passat CC, Polo, Beetle dan Vento, yang dilengkapi dengan perumahan penjana gas beg udara hadapan pemandu.

"Kebimbangan dengan penjana perumahan beg udara pemandu hadapan disebabkan oleh kemerosotan propelan penjana akibat kelembapan udara yang tinggi dan turun naik suhu dalam jangka masa yang panjang.

"Ini boleh menyebabkan kecederaan pada pemandu dan penumpang," katanya.

VPCM berkata, syarikat itu telah mengambil langkah perlu bersama rakan niaganya bagi memastikan ketersediaan alat ganti dan proses panggilan semula model terjejas berjalan lancar.

"Panggilan semula di seluruh negara ini akan dilaksanakan secara berperingkat bagi membolehkan kami menguruskan bilangan kes.

"Semua pemberitahuan kepada pemilik yang dikenal pasti, berdasarkan pangkalan data Volkswagen akan dilakukan melalui e-mel dan WhatsApp. Pelanggan yang membeli kenderaan daripada pemilik terdahulu atau pengedar kereta terpakai dinasihatkan untuk menghubungi pengedar sah Volkswagen terdekat untuk pengesahan dengan segera.

"Sekiranya penggantian alat ganti diperlukan, sebarang kos buruh dan alat ganti tidak dikenakan ke atas pemilik," katanya.

Menurut VPCM, pemilik boleh melayari https://www.volkswagen.com.my/volkswagen-service/repair-and-service/serv... dan memasukkan nombor VIN 17 angka mereka yang boleh didapati di bahagian bawah sebelah kiri cermin depan kenderaan.

Berita Harian X