Selasa, 26 Disember 2023 | 1:28pm
Gambar fail. - AFP
Gambar fail. - AFP

Daihatsu gantung operasi, beri pampasan kepada pembekal

TOKYO: Unit pengeluaran kereta besaiz kecil Toyota Motor, Daihatsu Motor akan memberikan pampasan kepada 423 pembekal domestik yang memiliki hubungan langsung selepas penggantungan operasi pengeluaran kilangnya di Jepun selepas terpalit dengan skandal keselamatan.

Menurut jurucakap, pengeluar kereta bersaiz kecil itu menghentikan pengeluaran di kilangnya sehingga akhir bulan hadapan.

"Syarikat itu akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada pembekal berdasarkan jumlah perniagaan yang lalu dan sedang berusaha untuk menilai kesan pemberhentian itu terhadap rangkaian pembekalnya yang lebih luas," katanya.

Rabu lalu, Daihatsu berkata, ia menghentikan penghantaran semua kenderaannya selepas siasatan keselamatan mendapati isu melibatkan 64 model, termasuk hampir 24 model yang dijual di bawah jenama Toyota.

Syarikat itu akan bekerjasama dengan pembekal utamanya untuk menangani kesan daripada skandal itu dan mungkin juga membantu subkontraktor kecil yang tidak menerima pampasan untuk mengakses dana sokongan daripada kementerian industri, tambah jurucakap itu.

Operasi luar negara Daihatsu banyak tertumpu di Asia Tenggara.

Ia telah menyambung semula pengeluaran kereta jenama Perodua di dua kilang usaha sama yang dikendalikannya dengan pembuat kereta Malaysia, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) selepas mendapat kelulusan kawal selia, kata jurucakap itu.

Minggu lalu, syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Toyota berkata, ia telah menyambung semula penghantaran daripada anak syarikatnya di Indonesia, PT Astra Daihatsu Motor.

- Reuters

Berita Harian X