Jumaat, 22 Disember 2023 | 3:51pm
Gambar fail. - Reuters
Gambar fail. - Reuters

Daihatsu tangguh penghantaran, untung MBM berpotensi terjejas

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MBM Resources Bhd (MBMR), yang menguasai 20 peratus pegangan dalam PERODUA, dijangka berpotensi turun sebanyak lapan peratus dalam tahun kewangan 2024 (TK24) seandainya Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) menangguhkan penghantaran kenderaan selama tiga bulan.

Menurut AmInvestment Bank dalam nota penyelidikannya hari ini, keadaan itu boleh diburukkan lagi dengan persepsi negatif pengguna terhadap PERODUA, yang boleh menjejaskan jualan.

Katanya, perkara itu adalah berdasarkan senario terburuknya, namun mereka tidak fikir yang DMC akan menggantung penghantaran kenderaan lebih dari dua bulan.

"Kami hanya mengurangkan volum jualan TK24 Perodua sebanyak tiga peratus kerana kami percaya bahawa gangguan kepada rantaian bekalan MBMR adalah sementara.

"Selain itu, PERODUA mempunyai kadar penghasilan tempatan untuk modelnya yang tinggi iaitu 90-95 peratus. Kami tidak fikir DMC akan menangguhkan penghantaran kenderaan lebih daripada dua bulan.

"Tambahan pula, dengan kemunculan permintaan yang terpendam apabila bekalan kembali normal akan meningkatkan jumlah jualan PERODUA dan mengimbangi sebahagian kesan negatif ini.

"Dalam jangka panjang, kami percaya bahawa PERODUA akan tetap diminati dalam kalangan pengguna kerana kualiti keretanya yang tinggi dan harga yang berpatutan," katanya.

Menurut bank pelaburan itu, pengumuman DMC semalam untuk menggantung penghantaran kenderaan di Jepun dan pasaran luar negara adalah susulan kepada pengumuman awal pada 28 April lalu.

Katanya, pengumuman terkini itu adalah berkenaan dengan penyelewengan prosedur yang berkaitan dengan ujian keselamatan kesan perlanggaran sisi.

"Penyelewengan yang direkodkan baru-baru ini juga termasuk ujian perlanggaran dan kemasan pintu.

"Model Perodua yang terbabit dalam penyelewengan prosedur ini ialah Axia, Aruz, Alza, Ativa dan Bezza. Ini mewakili 78 peratus daripada keseluruhan volum jualan. Myvi tidak termasuk kerana hanya versi generasi dua yang terjejas, yang sudah tidak lagi dijual oleh Perodua," katanya.

Sementara itu penganalisis BIMB Securities Research, Sabariah Akhair dalam nota penyelidikannya berkata, berita DMC menghentikan sementara penghantaran kenderaan ialahtelah menimbulkan kebimbangan, terutamanya bagi PERODUA yang bergantung kepada syarikat Jepun itu untuk bahagian penting.

"Walaupun begitu, panduan daripada pihak pengurusan PERODUA mencadangkan bahawa impak kepada mereka adalah kecil. Mereka telah menggariskan perkara itu bahawa 95 peratus daripada bahagian yang mereka gunakan datang daripada pembekal tempatan, mengurangkan mereka pergantungan kepada DMC.

"Oleh itu, walaupun beberapa isu mungkin timbul, PERODUA aktif

mengambil langkah untuk menguruskan keadaan dan memastikan operasi berjalan lancar. Oleh itu, tiada perubahan dalam ramalan pendapatan kami pada ketika ini," katanya.

MBM Resources adalah pengedar sah bagi jenama PERODUA, Mitsubishi, Volkswagen, Volvo, Daihatsu dan Hino. Ia juga menyediakan komponen kenderaan seperti tali pinggang keledar dan beg udara untuk Proton Holdings Bhd dan PERODUA.

Berita Harian X