Jumaat, 22 Disember 2023 | 1:34pm
Gambar fail. Ibu Pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam. - NSTP / FAIZ ANUAR
Gambar fail. Ibu Pejabat UMW Toyota Motor, Shah Alam. - NSTP / FAIZ ANUAR

UMW Toyota jamin ketelusan, boleh dipercayai

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menjamin pelanggan dan orang ramai bahawa mereka komited untuk meneruskan pengurusan dengan telus dan penuh akauntabiliti menyusul perkembangan terkini mengenai ujian keselamatan di Daihatsu Motor Co Ltd (DMC), anak syarikat Toyota.

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Toyota Motor Corporation (TMC) yang melaporkan terdapat ketidaksempurnaan prosedur dalam ujian yang dilaksanakan oleh DMC dan memberi kesan kepada tiga model Toyota lain yang diedarkan oleh UMWT di Malaysia.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk K Ravindran berkata, pihaknya ingin menekankan komitmen dalam mengekalkan piawaian dan kualiti tertinggi di dalam kenderaan.

"Jangan bimbang, kami sedang berusaha untuk memastikan kesemua kenderaan kami di Malaysia mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkaitan.

"UMWT akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia untuk menangani isu ini secara segera dan telus, dengan komitmen untuk menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada pasaran Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memahami kepercayaan daripada pelanggan, di mana mereka berazam untuk memperkukuhkan keyakinan pelanggannya dan komitmen terhadap kepuasan pelanggan sentiasa menjadi fokus utama.

Terdahulu, UMW Group menjual 42,315 unit kenderaan pada November 2023, naik lebih lapan peratus berbanding 39,034 unit yang dicatatkan pada November 2022.

Peningkatan jualan disebabkan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), meneruskan penghantaran pesanan tertunggak mereka.

Kumpulan itu juga menyatakan untuk 11 bulan pertama 2023, jualan automotifnya meningkat sebanyak 16 peratus kepada 396,820 unit daripada 341,390 unit yang didaftarkan bagi tempoh yang sama pada 2022.

UMWT mencatatkan penghantaran sebanyak 10,263 unit pada November 2023, menghampiri jumlah 10,442 unit yang dihantar pada November 2022.

Pada tahun ini sehingga November, ia merekodkan 97,705 unit, mencatatkan pertumbuhan lapan peratus berbanding 90,595 unit yang dicatatkan bagi tempoh yang sama 2022

Berita Harian X