Khamis, 21 Disember 2023 | 1:32pm
PERODUA merekodkan jualan 299,000 unit kereta tahun ini - Gambar ihsan PERODUA
PERODUA merekodkan jualan 299,000 unit kereta tahun ini - Gambar ihsan PERODUA

PERODUA, PROTON pecah rekod jualan kereta tahun ini

KUALA LUMPUR: Kedua-dua pengeluar kereta tempatan, PERODUA dan PROTON mencatat rekod jualan baharu pada 2023 mengatasi tahun lalu, demikian menurut RHB Research.

Penganalisisnya, Syahril Hanafiah, berkata PERODUA dan PROTON masing-masing menjual sejumlah 32,000 dan 12,000 unit pada November lalu.

Katanya, ini menjadikan jumlah jualan 11 bulan pertama 2023 bagi PERODUA kepada 299,000 dan PROTON pula sebanyak 139,000, masing-masing meningkat 19 peratus dan 14 peratus tahun ke tahun.

"Prestasi ini mengatasi angka jualan tahunan pada 2022 iaitu 282,000 dan 136,000 masing-masing untuk PERODUA dan PROTON.

"Kereta-kereta jualan terlaris PERODUA dan PROTON ialah kereta jenis sedan yang paling murah, iaitu Bezza dan Saga.

"Dengan keadaan kadar faedah yang tinggi pada masa ini, kami berpendapat trend membeli model-model kereta lebih murah akan diteruskan pada 2024 merentasi jenama pasaran umum seperti PERODUA, PROTON, Toyota dan Honda," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.

Syahril berkata, pihaknya mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan syarikat pilihan utamanya ialah Bermaz Auto.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bulan November mencatat jumlah jualan industri (TIV) sebanyak 72,000 unit, lantas membawa TIV untuk 11 bulan pertama 2023 kepada 719,000 unit.

"Walaupun TIV tahun ini sekali lagi sudah pasti bakal memecahkan rekod, kami kekalkan saranan sektor yang diberi kerana industri ini kekurangan pemangkin untuk mengekalkan momentum jualannya pada 2024.

"Kami terus berpegang pada pendapat bahawa jumlah jualan mungkin bakal menyusut tahun ke tahun. Kami masih menyukai Bermaz Auto disebabkan oleh jualan keretanya yang agak bertahan dan kadar hasil dividen 10 peratus," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan prestasi 2024 yang tidak menentu kerana gambaran sektor masih kabur, pihaknya mengumumkan ramalan TIV untuk 2024 sebanyak 625,000 unit.

"Ini menandakan pengurangan 14 peratus tahun ke tahun daripada unjuran kami buat 2023 iaitu 725,000 unit.

Kami menjangkakan TIV lebih rendah, kerana tiada sebarang faktor kukuh dilihat untuk mendorong jualan kereta pada 2024 ke arah rekod jualan baharu," katanya.

Berita Harian X