Rabu, 20 Disember 2023 | 11:27am
Royal Enfield Shotgun 650 dibangunkan menggunakan platform 650-Twin.
Royal Enfield Shotgun 650 dibangunkan menggunakan platform 650-Twin.

RE Shotgun 650 dijangka masuk pasaran Malaysia seawal Mac

KUALA LUMPUR: Model terbaharu Royal Enfield (RE) Shotgun 650, yang didedahkan pada acara perhimpunan tahunan Motoverse di Goa pada bulan lalu, dijangka masuk ke pasaran Malaysia seawal Mac ini.

Ia selaras dengan sasaran agresif pengeluar motosikal ikonik itu, seperti yang ditetapkan pada tahun 2020, iaitu untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya 28 model dalam tempoh tujuh tahun iaitu sehingga 2027.

Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa Royal Enfield, Gandhi Kumar, berkata Shotgun 650 dibangunkan menggunakan platform 650-Twin yang telah memenangi anugerah.

Katanya, model berkenaan adalah satu lagi pencapaian utama dalam industri permotoran global dan menandakan syarikat amat serius untuk bersaing dengan jenama besar lain khususnya dalam segmen klasik model bersaiz sederhana iaitu 350cc hingga 650cc.

"Amat lasak serta mudah ditunggang di jalan lurus dan mengambil selekoh, Shotgun 650 adalah usaha syarikat untuk membawa kategori motosikal yang khusus dan baharu kepada peminat jentera dua roda di seluruh dunia."

"Untuk Shotgun 650, secara umum untuk pasaran antarabangsa ia akan mula dihantar pada Januari (bulan hadapan), tapi saya tidak dapat memberikan tarikh tepat kemasukannya ke negara anda (Malaysia). Namun anda boleh jangkakan ia antara Mac dan April 2024. Malaysia adalah antara pasaran penting dan kami sedang berusaha untuk itu," katanya ketika ditemui pada acara Motoverse baru-baru ini.

Shotgun 650 sememangnya mirip dengan model konsep ikonik SG650 yang diperkenalkan di EICMA 2021, namun kedua-dua jentera berkenaan dikatakan punyai sedikit kelainan.

Dengan penggunaan platform dua silinder 648cc sama seperti pada Super Meteor 650 yang diperkenalkan baru-baru ini, ia tentukan menawarkan kuasa dalam lingkungan 47 tenaga kuda (hp) dan tork sekitar 52 newton-meter (Nm). Penggunaan ini plarform ini juga terdapat pada Continental GT dan Interceptor 650.

Kelebihan pada Shotgun 650 termasuk bahagian tempat duduk belakang yang boleh diubah, tangki bahan api yang lebih besar, dan fakta bahawa respons enjin Shotgun 650 telah diselaraskan sedikit untuk menyesuaikan dengan berat yang lebih tinggi. Bagaimanapun maklumat penuh belum diketahui buat masa ini.

"Selepas mempamerkan model konsep SG650 di Eicma pada tahun 2021, ternyata ia menarik minat meluas daripada pereka motosikal kustom antarabangsa sehingga kami memutuskan untuk memasarkannya.

"Shotgun 650 seumpama menawarkan sekeping kanvas untuk peminat motosikal kustom untuk mengubahsuai dan mencorakkannya mengikut kehendak masing-masing," katanya Gandhi.

Berdasarkan pandangan luaran ketika ia dipamerkan, tempat duduknya boleh ditukar sama ada antara penunggang sahaja dan juga dengan pembonceng. Ciri-ciri lain padanya adalah reka bentuk rim 10-spoke dengan sistem brek ABS, serta juga enjin dan komponen hitam pekat, ekzos berkembar dan suspensi boleh laras.

Ia juga menggunakan fork hadapan terbalik (USD) tidak boleh laras, serta meter pada kokpit separa-analog sama seperti Super Meteor. Meskipun sistem suis agak asas tetapi tampak kukuh, selain itu ia juga mungkin tidak disediakan dengan mod tunggangan.

Ia berkongsi rangka yang sama dengan Super Meteor juga, yang mana memberikan tunggangan yang lebih dinamik dengan letak kaki ke hadapan.

Berita Harian X