Ahad, 17 Disember 2023 | 2:21pm
Gambar fail. - NSTP/OWEE AH CHUN.
Gambar fail. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Rasionalisasi subsidi, jualan kenderaan dijangka susut 8.0 peratus

KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) dijangka menurun sebanyak lapan peratus kepada 710,000 unit pada 2024.

Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, ini disebabkan oleh tindak balas ke atas rasionalisasi subsidi bahan api, yang berkemungkinan menjejaskan permintaan untuk pasaran model pertengahan.

Beliau berkata, namun bagi jualan kenderaan dalam segmen mampu milik, ia dijangka kekal stabil kerana pembeli dari kumpulan B40 akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi dan juga berpotensi mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif

"Kami menurunkan taraf sektor automotif dengan mengunjurkan TIV sebanyak 710,000 unitpada tahun hadapan berbanding 770,000 unit pada 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

"Tetapi pendapatan industri masih kukuh, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 220,000 unit pada akhir November 2023.

Wan Mustaqim berkata, lebih separuh daripada tunggakan tempahan kenderaan terdiri daripada model baharu.

Beliau berkata, ini menunjukkan betapa menariknya model baharu kenderaan di Malaysia kepada pembeli kereta.

"Kami menjangkakan aliran yang sama dalam 2024, memandangkan barisan pelancaran baharu yang sama kuat pada tahun tersebut," katanya.

Wan Mustaqim berkata, keterujaan juga semakin meningkat dalam segmen kenderaan elektrik (EV) dengan pelancaran baharu BYD Seal dan Tesla baru-baru ini selain jangkaan pengenalan EV nasional pertama buatan tempatan iaitu Perodua dan Proton pada 2025.

Beliau berkata, pihaknya percaya kereta baharu masih merupakan kemewahan mampu milik bagi kebanyakan isi rumah Malaysia walaupun inflasi tinggi dan kelembapan ekonomi global.

Ini katanya disokong oleh keyakinan pengguna yang kukuh dari ekonomi yang stabil dan pasaran pekerjaan yang sihat.

Selain itu katanya, keterjangkauan kenderaan bermotor disokong oleh harga kereta baharu yang stabil berikutan penangguhan peraturan duti eksais dan kos sewa beli yang berpotensi lebih murah dengan pengenalan kaedah mengurangkan baki dalam pengiraan caj faedah serta model baharu yang lebih menarik.

"Walau bagaimanapun, kami mengakui bahawa rasionalisasi subsidi bahan api yang akan berlaku mungkin menjejaskan permintaan untuk model pasaran pertengahan tetapi kekal optimistik terhadap jualan kenderaan dalam segmen mampu milik.

"Kapasiti pengeluaran Perodua dijangka akan beroperasi sepenuhnya tahun hadapan bagi memenuhi tunggakan tempahan yang besar sebanyak 140,000 unit, bersamaan dengan hampir separuh sasaran jualan 2024 sebanyak 330,000 unit.

"Oleh itu, berdasarkan anggaran kami, Perodua bersedia untuk mengembangkan bahagian pasarannya kepada 47 peratus daripada anggaran 42 peratus tahun ini," katanya.

Berita Harian X