Isnin, 11 Disember 2023 | 6:05pm
Moto Guzzi V100. - NSTP / AHMAD UKASYAH
Moto Guzzi V100. - NSTP / AHMAD UKASYAH

Moto Guzzi V100 padat teknologi terkini, versatil

KUALA LUMPUR: Sejak beroperasi pada 1921, masyarakat di rantau ini masih kurang terdedah kepada salah satu jenama yang paling bersejarah di Itali. Moto Guzzi sememangnya terkenal motosikal ringkas gaya klasik dengan bentuk letak enjin V-Twin yang melintang sejak dahulu lagi.

Namun, 2023 Moto Guzzi V100 Mandello yang baharu ini tidak hadir untuk mengekalkan status quo berkenaan. Sebaliknya, ia seperti cuba menghubungkan masa lalu dengan masa depan dengan ciri-ciri inovatif dan teknologi baru untuk meneruskan 'survival' jenama ini mungkin untuk 100 tahun akan datang menerusi kilangnya di Mandello del Lario seperti yang digambarkan pada nama model terbaharu ini.

Seumpama jelmaan genre 'roadster' kepada 'sport-touring', tetapi amat versatil daripada kedua-duanya. V100 jelas tidak terikat dengan dua kategori umum ini.

Sebaliknya, ia mengikut 'iramanya' sendiri dalam gaya V-twin Moto Guzzi. Cuba menerajui dari segi aerodinamik aktif dan juga memperkenalkan enjin penyejukan cecair keluaran sulungnya sudah cukup untuk menarik perhatian penulis.

Pada masa sama, pengalaman menunggang model ini ternyata terasa ia motosikal yang sangat moden, tidak seperti sebelumnya, justeru menjadi tanda jelas bahawa Moto Guzzi sedang memandang ke hadapan.

Seumpama jelmaan genre ‘roadster’ kepada ‘sport-touring’, tetapi amat versatil daripada kedua-duanya. NSTP / AHMAD UKASYAH
Seumpama jelmaan genre ‘roadster’ kepada ‘sport-touring’, tetapi amat versatil daripada kedua-duanya. NSTP / AHMAD UKASYAH

Moto Guzzi V100 Mandello boleh didapati dalam dua variasi: Standard dan S. Model S hadir dengan harga RM99,900, dan ia mempunyai beberapa ciri yang meningkatkan prestasinya berbanding dengan model Standard iaitu pada harga RM117,900 seunit.

Dalam hal ini, model S dilengkapi dengan suspensi Öhlins separa aktif, penukar gear pantas (QS) naik/turun, pemantauan tekanan angin tayar, pemegang yang boleh dipanaskan, serta sambungan Bluetooth melalui aplikasi telefon pintar Moto Guzzi MIA. Akhir sekali, model S boleh didapati dalam beberapa warna liveri dua tona.

Sementara itu, model Standard dipadankan suspensi KYB yang boleh dilaraskan. Segala yang lain boleh ditambah sebagai pilihan kecuali kit Öhlins.

Enjin lebih padat dan berprestasi tinggi

Dengan enjin V-twin 90 darjah berkapasiti 1042cc penyejukan cecair dan DOHC, V100 menggabungkan teknologi kontemporari sambil memelihara 'jiwa' Guzzi. Ia telah mengenepikan 'pushrod', namun siluet dua silinder ikonik dan bunyi yang menggoda membuatkan penulis mengagumi model Guzzi baharu ini.

Jurutera telah menggunakan sistem moden 'finger-follower valvetrain' dan pelbagai komponen dalaman dengan inersia rendah untuk memastikan kuasa 115 hp dan tork 104.4nm dapat memecut pantas.

Menggunakan sistem moden ‘finger-follower valvetrain’ dan pelbagai komponen dalaman dengan inersia rendah untuk memastikan kuasa 115 hp dan tork 104.4nm dapat memecut pantas. - NSTP / AHMAD UKASYAH
Menggunakan sistem moden ‘finger-follower valvetrain’ dan pelbagai komponen dalaman dengan inersia rendah untuk memastikan kuasa 115 hp dan tork 104.4nm dapat memecut pantas. - NSTP / AHMAD UKASYAH

Kuasa dan tork yang tinggi ini sememangnya menarik dan memuaskan, 'berkelakuan baik' pada putaran rendah atau pada kelajuan pertengahan, namun mula 'mengganas' pada rpm tinggi.

Blok lebih kompak enjin V-Twin yang baru sepenuhnya dari Guzzi ini dicipta dengan prestasi dan keselesaan kedudukan penunggang.

'Intake manifold' dan badan trotel dipindahkan di antara bentuk V, yang mana ia tidak akan berlaga dengan lutut penunggang.

Dari segi prestasi, reka bentuk ini mencipta laluan udara/bahan api yang lebih pendek dan langsung ke dalam saluran masuk dan blok pembakaran, yang menghasilkan peningkatan kuasa.

Selaras dengan rekabentuk motosikal yang kompak, setiap komponen direka semula dan lebih tipis serta kecil, menghasilkan penjana kuasa atau powerplant enjin yang lebih pendek 4.1 inci berbanding dengan V85 TT.

Kejuruteraan pintar berupaya mengurangkan halangan giroskopik pada Moto Guzzi V100 Mandello 2023 ini.

Pada model terdahulu, enjin dipasang secara melintang menunjukkan ciri yang unik apabila crankshaft beroperasi secara memanjang dan apabila berputar pada rpm tinggi, ia akan berayun ke kanan, mempengaruhi sedikit pengendalian motosikal.

Namun, V100 tidak mengalami perkara berkenaan, kerana terdapat satu shaft kontra-putaran sekunder yang menangani daya hayunan berkenaan.

V100 menggunakan pemacu shaft, adalah seperti kelaziman pada Moto Guzzi.

Walaupun begitu, generasi kali ini berbeza kerana lengan ayun di sebelah kiri yang besar serta titik putarannya yang sangat rendah, justeru menghalang "shaft jacking".

Generasi kali ini berbeza kerana lengan ayun di sebelah kiri yang besar serta titik putarannya yang sangat rendah, justeru menghalang "shaft jacking". - NSTP / AHMAD UKASYAH
Generasi kali ini berbeza kerana lengan ayun di sebelah kiri yang besar serta titik putarannya yang sangat rendah, justeru menghalang "shaft jacking". - NSTP / AHMAD UKASYAH

Lengan ayun itu terkeluar enam darjah keluar untuk memuatkan tayar Pirelli Angel GT II 190/55 dan mengekalkan rangka yang lebih ramping di bahagian tengah.

Kluc basah ternyata lembut dan lancar, dan penukar gear pantas (QS) pada V100S adalah satu lagi yang julung kali terdapat pada model Guzzi.

Tersedia empat mod tunggangan boleh dipilih, yang mana ia mengubah karektor V100 dengan cepat. 'Sport, Road, Touring dan Rain' adalah mod yang merangkumi semua yang mengubah pemetaan trotel secara, strategi pembrekan enjin, tetapan kawalan traksi (TC), suspensi semi-aktif, dan menyahaktifkan deflektor aero automatik

Penukaran mod dapat dilihat pada paparan TFT lima inci yang terang. Mod Sport menjadikannya paling agresif dan menghangatkan keadaan. Sementara mod Road dan Touring berkongsi pemetaan pendikit, menjadikan pecutan awal lebih lembut dan senang dikawal. Mod Rain, jelas menunjukkan karektor yang sentiasa berwaspada dengan kawalan cengkaman maksimum di jalan basah.

Teknologi era baharu

Satu set lengkap bantuan menunggang yang disokong oleh IMU terdapat pada model standard. Ia juga dilengkapi ABS selekoh (tidak boleh laras) dan kawalan cengkaman (TC) empat peringkat. Semua bantuan penunggang ini berfungsi dengan lancar dan teratur.

Menambah kelebihan pada model ini adalah pencahayaan LED keliling serta lampu hadapan yang boleh mengeluarkan cahaya bersesuaian dengan persekitaran secara automatik. Juga disediakan kawalan tunggangan (cruise control).

Penukaran mod dapat dilihat pada paparan TFT lima inci yang terang. - NSTP / AHMAD UKASYAH
Penukaran mod dapat dilihat pada paparan TFT lima inci yang terang. - NSTP / AHMAD UKASYAH

Sistem semi-aktif Öhlins pada varian V100S adalah sejajar dengan kepelbagaian mesin ini. Sistem Smart EC 2.0 beroperasi pada fork NIX dan suspensi TTX dengan dua mod semi-aktif dan dua mod manual. Pra-beban spring diatur secara manual, dan suspensi dilengkapi dengan penyesuaian jarak jauh yang menarik.

Parameter penalaan OBTi (Antara Muka Penalaan Berdasarkan Objektif) disederhanakan untuk penggunaan di jalan raya, menawarkan skala gelinciran untuk "front firmness," "rear firmness," dan "brake support."

Mod Dynamic (A1) direka untuk jalan berliku dan kelajuan, menjaga kestabilan casis ketika melalui selekoh dan memastikan semuanya bahagian jentera selaras dengan penggunaan di jalan raya dalam konteks jentera sport.

Mod Comfort (A2) berfungsi seperti yang diiklankan, menyerap setiap bahagian aspal yang berlekuk dan selesa dalam perjalanan.

Pengendalian yang mantap adalah ciri utama bagi V100 Mandello. Pengendalian yang lancar dengan rangka trellis keluli ini mencerminkan kepakaran kejuruteraannya, yang mana perbandingan dengan sportbike Aprilia nampaknya tidak jauh.

"Teguh" adalah kata kerja yang sesuai, merujuk kepada berat curb sebanyak 233 kilogram (kg). V100 nampaknya ingin memberikan kecenderungan pada kelajuan yang lebih sederhana.

Aerodinamik yang bersifat adaptif adalah ciri yang paling menarik. Menyaksikan sayap atau wing kecil bersebelahan tangki terbuka amat mengujakan pada mulanya, dan menurut Moto Guzzi, sistem ini mengurangkan tekanan udara ke atas penunggang sebanyak 22 peratus.

Dari segi ergonomi atau kedudukan penunggang, V100 seperti mahu menyeimbangkan antara tunggangan santai dan sport. Berdiri di sebelah Moto Guzzi V100 Mandello 2023, perkara pertama yang akan anda perasan adalah saiznya yang agak sederhana. Ia berada di tengah iaitu motosikal berprestasi tinggi tanpa mengorbankan keupayaan atau keselesaan.

Ketinggian tempat duduk yang mesra penunggang iaitu 32.1 inci menjadi lebih menarik dengan rangka yang ramping, membolehkan penunggang dengan pelbagai saiz untuk dengan mudah menjejak tanah.

Kesimpulannya, jika Moto Guzzi V100 Mandello 2023 adalah gambaran mengenai masa depan Guzzi, ia mungkin amat cerah. Meneruskan tradisi dan warisan bukanlah sesuatu yang muda, dan jurutera Moto Guzzi berjaya mengekalkan daya tarikan Guzzi yang tidak dapat disangkal dalam kemodenan pada V100 Mandello.

Berita Harian X