Selasa, 5 Disember 2023 | 4:20pm
Proton S70 ditawarkan dengan empat pilihan varian - Gambar ihsan PROTON
Proton S70 ditawarkan dengan empat pilihan varian - Gambar ihsan PROTON

Proton S70 terima tempahan luar biasa 900 unit seminggu

SUBANG JAYA: Proton S70 yang baru dilancarkan hujung bulan lalu merekodkan 900 tempahan seminggu, impak luar biasa yang dipamerkan model sedan segmen-C itu di pasaran domestik.

Proton Holdings Bhd (PROTON) dalam satu kenyataan berkata, kadar tempahan luar biasa yang ditunjukkan Proton S70 adalah peningkatan tiga kali ganda selepas pelancaran dan pengumuman harganya.

"Slogan 'Intelligence that Evolves' terbukti lebih daripada sekadar perkataan, bergema dengan baik kepada pengguna. Lonjakan dalam tempahan, kini melepasi 900 seminggu, menunjukkan populariti model dan keupayaannya untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia.

"Jumlah tempahan untuk S70 telahpun melebihi 3,000 unit, menandakan kecenderungan yang sejajar dengan keperluan dan pilihan rakyat Malaysia," katanya.

Proton S70 yang ditawarkan dengan empat pilihan varian iaitu 1.5T Executive yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800; 1.5T Premium (bermula RM79,800); 1.5T Flagship (bermula RM89,800); dan 1.5T Flagship X (bermula RM94,800).

Proton S70 pasaran Malaysia menerima spesifikasi tertinggi berbanding pasaran Asia Tenggara lain yang lebih awal membawa masuk Geely Emgrand.

Model itu dilengkapi dengan enjin 1,477cc turbo DOHC 3-silinder yang menghasilkan kuasa 150PS pada 5,500rpm dan tork 226 Nm pada 1,750 hingga 4,000rpm.

Sementara itu, PROTON terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran dengan mencatatkan angka jualan yang mengagumkan pada November dengan 12,296 unit terjual untuk pasaran domestik dan eksport).

Menurut PROTON, pencapaian itu mengukuhkan kedudukan kedua jenama nasional itu dalam kalangan jenama automotif, sekali gus menunjukkan daya tahan dalam pasaran yang kompetitif.

Bagi tempoh Januari hingga November, PROTON telah menjual 141,900 unit merangkumi 138,876 unit (domestik) dan 3,024 unit (eksport).

Pencapaian dalam tempoh 11 bulan 2023 itu menyaksikan PROTON telah pun melepasi jumlah jualan sepanjang tahun sebelumnya iaitu 141,432 unit, dengan pertumbuhan sebanyak 12 peratus dan penguasaan pasaran yang stabil iaitu 19.7 peratus.

Dalam pada itu, Proton X Series, yang terdiri daripada model X50, X70, dan X90, telah menawan hati pembeli kereta Malaysia dengan mencapai pencapaian yang luar biasa iaitu 201,710 unit sudah berada di atas jalan raya.

X Series yang terkenal dengan inovasi, prestasi dan gayanya, telah menjadi simbol komitmen PROTON untuk menyampaikan kenderaan yang sesuai dengan pilihan pengguna yang pelbagai.

Proton X50, pendahulu dalam kategori kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B, kekal sebagai kegemaran pelanggan, menyumbang dengan ketara kepada kejayaan jualan November dengan 2,115 unit terjual.

Sejak dilancarkan, sebanyak 102,325 unit telah terjual.

Proton X70, pesaing teguh dalam segmen SUV C, merekodkan 95,100 unit terjual sejak dilancarkan, mengekalkan kedudukan pasarannya yang kukuh.

Proton X90 yang diperkenalkan kurang dari setahun lalu pula, terus menerajui segmen SUV segmen-D, meraih 4,285 unit dalam jualan yang seterusnya menyumbang kepada kejayaan keseluruhan X Series.

Sementara itu, permintaan tinggi untuk model Proton PIES (Saga, Iriz, Persona, Exora) terus mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan iaitu sebanyak 34.3 peratus, berbanding 11 bulan 2022.

Proton Saga kekal tertinggi, mendahului dengan 6,349 unit terjual, kedua tertinggi untuk tahun ini, mempamerkan popularitinya yang berkekalan di kalangan pembeli kereta Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah, berkata, November telah membentuk dengan baik bagi jenama itu dan PROTON bersedia untuk penutupan akhir tahun yang kukuh.

"Barisan model kami adalah peserta utama yang sempurna dan sejajar dengan keutamaan untuk gaya, prestasi, teknologi dan kepraktisan. Penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan selepas jualan kami telah mengukuhkan keyakinan pelanggan dan memastikan proses pemilikan yang lancar.

"Kami yakin untuk mengakhiri tahun ini dengan kukuh, menyerahkan kereta ke tangan pelanggan kami sebelum tahun ini berakhir," katanya.

Berita Harian X