Isnin, 4 Disember 2023 | 9:37pm
Pengecas berprestasi tinggi ultra-pantas 360kW dikuasakan oleh Shell Recharge.
Pengecas berprestasi tinggi ultra-pantas 360kW dikuasakan oleh Shell Recharge.

Shell sedia hab pengecas ultra-pantas di Genting

GENTING HIGHLANDS: Shell Malaysia Trading Sdn Bhd akan mewujudkan hab pengecas kenderaan elektrik (EV) yang terdiri daripada 10 ruang pengecasan lengkap di Resorts World Genting, bagi menyediakan akses EV di destinasi peranginan utama di Malaysia itu, menjelang awal tahun depan.

Menurut Shell Malaysia, hab lengkap dengan pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW itu dikuasakan oleh Shell Recharge, penyedia penyelesaian pengecasan EV milik Shell.

"Menerusi kerjasama strategik dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Bhd, hab EV ini akan menjadi penambahan baharu kepada rangkaian Shell Recharge EV sedia ada sebanyak 136 stesen pengecas yang terletak di kawasan strategik bandar utama dan di lebuh raya Semenanjung Malaysia, menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand," jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Shell Malaysia memaklumkan bahawa hab pengecasan semua-dalam-satu itu akan memuatkan 10 pengecas yang terdiri daripada empat pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam pengecas AC 22kW.

Semua pengecas disertakan dengan penyambung pengecasan CCS Type 2, yang membolehkan pemandu EV menikmati pengalaman pengecasan yang sangat pantas di puncak bukit, tambahnya.

Sementara itu, pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shell Recharge dan Genting Malaysia mengenai projek hab itu di sini, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia, Seow Lee Ming berkata hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi permulaan bagi pengembangan e-mobiliti syarikat ke pantai timur.

"(Dalam melangkah maju), kami akan terus menambah (ruang pengecasan EV Shell di Semenanjung Malaysia) memandangkan e-mobiliti adalah antara bidang yang terlibat memandangkan kami berusaha ke arah masa depan yang mampan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu.

Seow berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Porsche Malaysia dan syarikat berasaskan pembuat peralatan tulen (OEM) lain untuk keperluan dan penggunaan terminal pengecasan rumah EV.

"Pada masa ini, terminal pengecasan rumah bukan sebahagian daripada perkara yang terlibat. Ia bergantung kepada keperluan dan sama ada mampan untuk mengecas di rumah namun, kami bekerjasama dengan banyak OEM mengenai perkara ini," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X