Selasa, 28 November 2023 | 10:14pm
Tengku Zafrul (kiri) pada majlis pelancaran Proton S70 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tengku Zafrul (kiri) pada majlis pelancaran Proton S70 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Proton Satria kereta pertama Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: "Proton Satria adalah kereta pertama saya selepas tamat belajar pada 1997," kata Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau mendedahkan, model yang dibelinya itu berfungsi dengan baik ketika beliau bertugas di sebuah bank.

"Saya fikir ramai antara Kita berjiwa vintaj dan memiliki kenangan indah semasa memandu kereta Proton.

"Kereta pertama saya ialah Proton Satria, yang saya beli pada 1997. Ia berfungsi dengan baik semasa saya bekerja di sebuah bank," katanya pada majlis pelancaran Proton S70 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar; dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Tengku Zafrul berkata, sebagai kereta nasional pertama negara, jenama PROTON telah berkembang dengan membanggakan sejak model pertama dilancarkan pada Julai 1985.

"Ketika PROTON melancarkan model pertama, saya baru berusia 12 tahun.

"Jadi, pelancaran S70 hari ini adalah tepat pada masanya untuk PROTON kembali ke segmen pasaran ini selepas kejayaan model kenderaan utiliti sukan (SUV) mereka.

"Saya juga gembira untuk menyatakan bahawa PROTON kekal sebagai jenama automotif kedua paling popular di Malaysia, selain turut berada pada landasan mencapai sasaran untuk pertumbuhan tahun kelima berturut-turut," katanya.

Beliau menjelaskan, seperti mana kembalinya PROTON ke pasaran sedan menerusi pelancaran Proton S70, syarikat itu juga bersedia untuk kembali ke lebih banyak pasaran automotif di rantau ASEAN dan pasaran lain.

"Pasaran antarabangsa ini telah berkembang dalam kecanggihan pengguna dan keperluan perundangan, tetapi daripada apa yang saya lihat mengenai rancangan model semasa dan masa depan PROTON, saya yakin mereka sudah bersedia untuk menghadapi cabaran itu.

"Saya juga telah mengambil maklum bahawa PROTON menjadi antara pengeksport utama kenderaan Malaysia. Walaupun bilangannya agak kecil, cabaran MITI kepada PROTON, bolehkah kita melihat perkembangan pesat di belakang pengenalan model baharu seperti Proton S70," katanya.

Berita Harian X