Selasa, 28 November 2023 | 7:19pm
Tengku Zafrul (empat dari kiri) bersama Syed Faisal Albar (enam dari kiri) pada Majlis Pelancaran Proton S70 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tengku Zafrul (empat dari kiri) bersama Syed Faisal Albar (enam dari kiri) pada Majlis Pelancaran Proton S70 di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

PROTON umum teknologi kereta elektrik tidak lama lagi

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) sedang mengemas kini dan menilai teknologi kenderaan elektrik (EV) dan akan diumumkan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata perkara itu adalah maklum balas daripada hasrat kerajaan supaya pengeluar kereta nasional memperkenalkan produk EV dalam tempoh dua tahun akan datang.

"Kita sedang melaksanakan apa yang perlu untuk memperkenalkan kereta EV pertama. Justeru, buat masa ini PROTON sedang mengemaskini dan menilai teknologi EV," katanya ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran Proton S70 di sini, hari ini.

Proton S70 dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang turut hadir Pengerusi DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom), Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

April lalu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata pengeluar kereta nasional itu mempercepatkan pelan kenderaan elektrik (EV) apabila merancang untuk memperkenalkan model tempatan pertama seawal 2025 berbanding perancangan awal pada 2027.

Katanya, langkah mempercepatkan pengenalan model EV pertama keluaran PROTON adalah selaras dengan komitmen kerajaan yang memberi sokongan kukuh kepada perkembangan EV di Malaysia.

Roslan berkata, PROTON sedang giat mengenalpasti model yang bersesuaian untuk diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan tanpa berkompromi dari aspek harga mampu milik dan praktikal.

Terdahulu pada Februari lalu, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Perindustrian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Hanafi Sakri, dilaporkan berkata, pengeluaran EV mampu milik untuk pasaran massa di negara ini dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi.

Justeru, beliau berkata, bagi menawarkan EV mampu milik secara massa, sudah pasti ia memerlukan kerjasama daripada pengeluar kereta tempatan iaitu PROTON dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA).

Katanya, MITI sedang berunding dengan pengeluar kereta tempatan bagi membantu mereka mengeluarkan EV mampu milik bagi pasaran tempatan.

Sementara itu, pada ucapan pelancaran Proton S70, Tengku Zafrul berkata, pasaran automotif Malaysia menjadi antara penyunbang penting kepada ekonomi negara.

"Perlu diperhatikan juga bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di ASEAN yang mempunyai dua pengeluar asal (OEM) tempatan. Ia bukan sahaja penting untuk ekonomi kita, tetapi juga untuk rasa kebanggaan negara kita untuk mempunyai perwakilan jenama tempatan yang kukuh untuk pasaran automotif negara.

"Pada penghujung Oktober, jumlah keseluruhan industri (TIV) negaratelah meningkat sebanyak 11.6 peratus berbanding 2022. Dengan baki lebih sebulan untuk tahun ini, kita berada di landasan untuk memecahkan rekod TIV tertinggi," katanya.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam penggunaan domestik telah didorong oleh dorongan dasar yang telah memudahkan pelbagai usaha kerjasama semua pihak berkepentingan dalam industri.

"Daripada OEM dan ekosistem vendor kepada pemain industri kewangan dan insurans, mereka masing-masing telah memainkan peranannya untuk memastikan kejayaan industri, yang seterusnya, menyumbang kepada kejayaan mengembangkan lagi ekonomi kita," katanya.

Berita Harian X