Selasa, 28 November 2023 | 3:06pm
Ammar (dua dari kiri) dan Zainal Abidin (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MOC antara Tourism Malaysia dan PERODUA di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Ammar (dua dari kiri) dan Zainal Abidin (dua dari kanan) ketika majlis menandatangani MOC antara Tourism Malaysia dan PERODUA di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

PERODUA promosi kereta sempena Tahun Melawat Malaysia

KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Tourism Malaysia memeterai memorandum kerjasama (MoC) untuk tempoh tiga tahun bagi mempromosikan sektor pelancongan di negara ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata perjanjian yang akan berkuat kuasa mulai tahun depan hingga 2026 itu menyaksikan jenama kereta kompak nasional akan menawarkan rangkaian kenderaan PERODUA untuk dilanggan oleh pelancong domestik dan asing.

"Kita bersama Tourism Malaysia sedang mengenal pasti pakej menarik untuk ditawarkan kepada pelancong Jumlah kenderaan yang akan disediakan masih di peringkat perbincangan. Sudah ditetapkan sejumlah kereta PERODUA.

"Namun, PERODUA dan Tourism Malaysia bekerjasama untuk menawarkan pakej lengkap membabitkan langganan kereta dan penginapan.

"Tawaran kereta PERODUA bukan sekadar untuk merancakkan Tahun Melawat Malaysia, malah mempromosikan kenderaan jenama nasional," katanya kepada media selepas pemeteraian MoC di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Kerjasama MoC PERODUA-Tourism Malaysia adalah berlandaskan komitmen bersama untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia, memudahkan kebolehcapaian dan meningkatkan pengalaman pelancong secara keseluruhan.

MoC itu juga bertujuan mencapai beberapa objektif penting yang boleh memberi manfaat kepada industri pelancongan serta ekonomi negara.

Zainal Abidin menjelaskan, menerusi MoC itu, PERODUA boleh mengembangkan model perniagaan baharu, khususnya langganan kenderaan dan dalam masa yang sama mendapat maklum balas masa sebenar daripada pelancong asing mengenai pandangan mereka terhadap PERODUA.

"Kerjasama antara Tourism Malaysia dan PERODUA ini dijangka akan membawa kepada era yang menarik bagi industri pelancongan Malaysia, selain menjanjikan manfaat kepada negara, pelancong dan persekitarannya," katanya.

Sementara itu, Ammar berkata, kerjasama itu akan menyaksikan dua organisasi terbabit akan berkongsi sumber untuk memasar dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

"Usaha ini akan membabitkan kempen pengiklanan dan acara promosi selain memanfaatkan platform digital masing-masing untuk menarik khalayak global.

"Kami teruja untuk memulakan perjalanan baharu dengan PERODUA. Kerjasama kami ini menandakan komitmen bersepadu dalam menjadikan Malaysia negara yang menarik kepada pelancong.

"Dengan gabungan ini, kami boleh menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelancong termasuklah merasai sendiri kecantikan, kepelbagaian dan kemesaraan negara kita," katanya.

Berita Harian X