Selasa, 21 November 2023 | 7:05pm
Tengku Zafrul (lapan dari kiri) diiringi Syed Faisal Albar (tujuh dari kiri) dan Xiangbei (enam dari kiri) melancarkan kenderaan elektrik smart #1 di Kuala Lumpur, hair ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
Tengku Zafrul (lapan dari kiri) diiringi Syed Faisal Albar (tujuh dari kiri) dan Xiangbei (enam dari kiri) melancarkan kenderaan elektrik smart #1 di Kuala Lumpur, hair ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Kereta elektrik smart #1 harga bermula RM189,000

KUALA LUMPUR: smart Malaysia melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik (EV) serba baharunya, smart #1 yang ditawarkan dengan tiga varian iaitu smart #1 BRABUS, smart #1 Premium dan smart #1 Pro.

smart #1 BRABUS ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM249,000, smart #1 Premium (RM219,000) dan smart #1 Pro (RM189,000).

PRO-NET, pengedar eksklusif smart #1 di Malaysia dan Thailand mengukuhkan sokongannya terhadap pelan hala tuju Proton EV dengan memperoleh pandangan yang bernilai dan mewujudkan ekosistem bersepadu dengan lancar.

Ia merangkumi rangkaian pengedar, perkhidmatan selepas jualan, aplikasi digital 'Hello smart' yang mesra pengguna dan pengurusan bateri voltan tinggi di Malaysia yang mempamerkan kesediaan syarikat untuk revolusi mobiliti elektrik.

EV smart #1 tampil dengan 10 kombinasi warna, termasuk Future Green, Quantum Blue, Digital White, Cyber Silver, Lumen Yellow, Laser Red, Atom Grey – Matte (Bumbung Atom), Atom Grey – Matte (Bumbung Merah), Cyber Silver (Bumbung Merah) dan Meta Black (Bumbung Merah).Selain itu, terdapat tiga variasi gaya dalaman khusus, trim 'After Dark' untuk smart #1 Pro, trim 'Dark Matter' dua tona putih dan hitam untuk smart #1 Premium, dan dalaman 'BRABUS' eksklusif untuk smart #1 BRABUS.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata smart Malaysia komited untuk membentuk semula landskap mobiliti elektrik premium di negara ini.

"Dedikasi kami adalah untuk membentuk semula keyakinan pengguna melalui perkhidmatan selepas jualan yang luar biasa, termasuk ketersediaan alat ganti, peta pengecasan awam bersepadu dan ekosistem digital yang lancar.

"Hari ini, kami meraikan peminat smart dan tidak sabar untuk mengembangkan kehadiran smart #1 di jalan raya Malaysia dan memberikan pengalaman mobiliti bandar serba elektrik yang tersendiri, premium dan pintar," katanya pada pelancaran smart #1 di sini, hari ini.

smart #1 dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

smart Malaysia komited untuk membentuk semula landskap mobiliti elektrik premium di negara ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim
smart Malaysia komited untuk membentuk semula landskap mobiliti elektrik premium di negara ini -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Yang turut hadir, Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Global smart Automobile, Tong Xiangbei; dan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

Bagi model terbabit, smart Malaysia juga menawarkan pemilikan premium All-Inclusive smart termasuk jaminan bateri bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 200,000 kilometer (km); jaminan komponen bervoltan tinggi selama lapan tahun atau 150,000 km; jaminan kenderaan selama empat tahun tanpa had perjalanan.

Selain itu, tawaran utama lain turut merangkumi jaminan alat ganti selama dua tahun tanpa had perjalanan; bantuan perkhidmatan jalanan 24/7; pengecas AC smartCharge percuma berharga RM3,2001 dengan jaminan dua tahun; kabel V2L percuma berharga RM800 dengan jaminan dua tahun; pakej aksesori percuma bernilai RM2,000; lima tahun data internet percuma dengan jumlah 60GB; dan perlindungan insurans smartPlus yang komprehensif.

smart Malaysia menawarkan pemilikan premium All-Inclusive smart -NSTP/Hairul Anuar Rahim
smart Malaysia menawarkan pemilikan premium All-Inclusive smart -NSTP/Hairul Anuar Rahim

Tengku Zafrul dalam ucapannya berkata, sumbangan industri automotif Malaysia kepada ekonomi negara adalah signifikan, dengan pengeluaran tahunan melebihi 500,000 kenderaan, yang menyumbang lebih RM30 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Dari aspek ekosistem, industri automotif mewakili kira-kira 4.0 peratus daripada KDNK Malaysia. Menjelang 2030, sasaran kerajaan adalah untuk mencapai RM104.2 bilion dalam sumbangan KDNK, dengan jumlah pengeluaran sebanyak 1.47 juta unit kenderaan," katanya.

Berita Harian X