Selasa, 21 November 2023 | 11:56am
Volvo SISMA Auto Sungai Besi - Gambar ihsan Sisma Auto
Volvo SISMA Auto Sungai Besi - Gambar ihsan Sisma Auto

Sisma Auto labur RM30 juta buka bilik pameran Volvo terbesar

KUALA LUMPUR: Kumpulan automotif premium pelbagai jenama, SISMA Auto melabur RM30 juta untuk membuka pusat 3S Volvo utama baharu di Sungai Besi.

Pusat dikenali Volvo SISMA Auto Sungai Besi itu terletak di Wisma SISMA Auto, bangunan empat tingkat seluas 55,000 kaki persegi yang dibina khusus bagi merealisasikan Pengalaman Runcit Mampan Volvo.

Kemudahan itu juga menempatkan bilik pameran Volvo terbesar di Malaysia yang mampu memuatkan sehingga 16 buah kereta baharu dan kereta terpakai SELEKT.

Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto, Syed Khalil Syed Ibrahim, berkata pusat baharu itu memperlihatkan pengembangan perniagaan Volvo dan membuktikan keyakinannya terhadap masa depan jenama itu di Malaysia.

"Lokasi asal kami di Glenmarie sudah tidak mampu menampung pertumbuhan perniagaan Volvo yang kami mulakan lebih kurang enam tahun yang lalu. Pusat yang lebih besar dan lebih baik ini dibangunkan memandangkan jumlah pelanggan kami yang kian meningkat.

"Ia juga berfungsi sebagai penambahan kepada lokasi jualan sedia ada kami di Bukit Bintang, yang berada di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur," katanya kepada media pada majlis pelancaran Pusat 3S Volvo SISMA Auto Sungai Besi, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia Sdn Bhd (VCM), Charles Frump.

Pusat 3S itu turut membolehkan pengunjung dapat menikmati pengalaman runcit premium di ruang menunggu ala Scandinavia yang menampilkan gaya yang kemas dan ringkas, mencerminkan minimalisme dan kefungsian namun tetap menonjolkan keindahan.

Pusat serba lengkap itu memiliki peralatan diagnostik Volvo berkomputer terkini, pelbagai peralatan khas Volvo serta kelengkapan penjajaran dan pengimbangan roda.

Dengan pasukan yang dilatih khusus dan diiktiraf oleh Volvo, pusat ini sedia menangani segala keperluan servis bagi semua model Volvo, sama ada model enjin pembakaran, hibrid atau kenderaan elektrik (EV).

Ia juga dilengkapkan dengan pengecas DC kapasiti tinggi 120kW untuk kegunaan umum.

Pelanggan juga boleh menikmati kemudahan yang disediakan oleh Volvo SISMA Auto Concierge Service, yang menawarkan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran kenderaan dari rumah atau pejabat.

Sementara itu, Frump berkata, pelaburan besar yang dibuat SISMA Auto dijangka menyumbang kepada peningkatan yang nyata dari segi rangkaian jenama itu serta pengalaman pemilikan Volvo.

"Kami teruja kerana mempunyai rakan niaga tempatan yang komited yang sedia bekerjasama untuk menaikkan jenama ini dan bersama mengorak langkah ke arah elektrifikasi," katanya.

Berita Harian X