Isnin, 2 Oktober 2023 | 4:04pm
PROTON menyediakan kapasiti pengeluaran yang seiring dengan pelan transformasi syarikat - Gambar fail NSTP
PROTON menyediakan kapasiti pengeluaran yang seiring dengan pelan transformasi syarikat - Gambar fail NSTP

PROTON bina strategi jadi syarikat automotif terbaik ASEAN

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) mewujudkan strategi teras dalam usaha mencapai matlamat menjadi antara syarikat automotif yang terbaik di rantau ASEAN.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata selaras dengan sasaran untuk menjadi antara tiga syarikat automotif terbesar ASEAN menjelang 2027, pengeluar kereta nasional itu menetapkan strategi membabitkan pembangunan model kenderaan baharu yang berdaya saing dengan menerapkan ciri terkini untuk memenuhi kehendak pelanggan.

Katanya, PROTON juga turut menyediakan kapasiti pengeluaran yang seiring dengan pelan transformasi syarikat untuk jangka masa sederhana dan panjang.

"PROTON turut meningkatkan aktiviti sokongan dalam mencapai empat aspek iaitu penyertaan pembekal tempatan secara inklusif; kos operasi yang optimum; pengurusan kualiti secara menyeluruh; dan kepuasan pelanggan melalui jaringan pusat-pusat 3S dan 4S yang baharu.

"Kami juga memperkemaskan pembangunan modal insan untuk memperkukuh dan memperkasakan jenama PROTON di Malaysia dan peringkat serantau," katanya kepada BH.

Awal tahun lalu, PROTON sedang menyusun strategi untuk menjadi antara tiga syarikat automotif terbesar ASEAN menjelang 2027 dengan rancangan memasuki semula dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Indonesia dan Thailand.

Kemasukan semula ke dua pasaran utama itu penting untuk mengukuhkan cengkaman pengeluar kereta nasional itu dan mengembangkan pasaran eksport selepas mencatat pertumbuhan positif pada peringkat domestik.

Sebagai rekod, pasaran automotif Thailand menjual 849,388 unit, manakala Indonesia sebanyak 1,048,040 unit tahun lalu.

Berdasarkan angka jualan 2022 mengikut jenama di Thailand, Toyota (termasuk Lexus) menjual 288,809 unit kenderaan, diikuti Isuzu dengan 212,491 unit dan Honda 82,842 unit.

Mengenai perkembangan kereta elektrik (EV), Roslan berkata, kemasukan Tesla ke pasaran Malaysia telah membawa persaingan yang positif dalam segmen kenderaan sedemikian dan dilihat mampu merancakkan pertumbuhan jualan kenderaan segmen berkenaan.

Bagi memastikan PROTON tidak ketinggalan dalam perkembangan EV, beliau berkata, pengeluar kereta nasional itu akan memanfaatkan kerjasamanya dengan Zheijang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang menyediakan banyak peluang dan akses kepada teknologi kenderaan EV.

"Pada masa yang sama, langkah yang diambil oleh PROTON melalui anak syarikatnya iaitu Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), menunjukkan persiapan yang serius dalam penyediaan untuk melancarkan model EV pertamanya, "smart #1.

"Pengalaman ini akan memperkayakan PROTON dengan pengetahuan dan persediaan yang lebih baik dalam pengenalan kenderaan EV jenama sendiri.

"Ini membuka peluang untuk PROTON menawarkan produk EV yang berdaya saing dan inovatif, sejajar dengan perubahan permintaan pasaran dan menangani persaingan yang semakin sengit," katanya.

Berita Harian X