Jumaat, 22 September 2023 | 3:46pm
Proton X90 dipamerkan di Mauritius
Proton X90 dipamerkan di Mauritius

PROTON teroka tiga pasaran eksport model X90

SUBANG JAYA: Proton Holdings Bhd (PROTON) meluaskan pengaruhnya di tiga pasaran eksportnya apabila melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharunya, Proton X90 di Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei.

Dalam satu kenyataan, PROTON berkata, pertumbuhan jualan eksport di pasaran antarabangsa kekal menjadi antara tonggak utama bagi matlamat jangka panjang pengeluar kereta nasional itu.

"Dengan jumlah yang berkembang pesat pada 2022 (5,406 unit), menandakan peningkatan sebanyak 79 peratus berbanding tahun sebelumnya, syarikat meletakkan harapan tinggi untuk mengekalkan trajektori pertumbuhan yang sama untuk tahun ini.

"Bagaimanapun, 2023 agak mencabar disebabkan oleh faktor luaran yang mempengaruhi ekonomi global dan melembapkan potensi jualan syarikat dalam beberapa pasaran eksport utama. Walaupun menghadapi cabaran, PROTON tetap teguh dalam keazamannya untuk meluaskan jangkauannya di luar sempadan Malaysia.

"Potensi negara yang berbeza sentiasa dinilai dan diterokai sementara pelancaran produk ke pasaran sedia ada semakin pantas. Ogos menjadi satu bulan contoh sebegini apabila tawaran terbaharu PROTON, Proton X90, telah dilancarkan di tiga pasaran eksport," katanya.

Mauritius menjadi pasaran eksport pertama yang menerima Proton X90, apabila SUV keluarga premium dan moden itu telah diperkenalkan pada 4 Ogos di Le Salon de L' Automobile, SVICC, Pailles.

Diikuti dengan pasaran keduanya ketika Proton Afrika Selatan mempamerkan Proton X90 di Festival Permotoran di Litar Grand Prix Kyalami dari 25 hingga 27 Ogos.

Acara itu mendapat sokongan padu daripada kementerian Hal Ehwal Luar Malaysia apabila dihadiri Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Yap Wei Sin.

Pada hari yang sama, Proton Brunei melancarkan Proton X90 pada majlis pelancaran besar-besaran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah dan Pengerusi pengimport dan pengedar Proton, Pad dan Econ Motors, Tan Kah Boon.

Pengarah Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xu, berkata 2023 menjadi tahun yang mencabar kepada perniagaan eksport PROTON kerana kebanyakan pasaran eksport mengalami cabaran ekonomi yang mengakibatkan kawalan ketat pasaran modal.

"Bagaimanapun, usaha kami untuk meneroka peluang dalam pasaran lain diteruskan dengan kerja asas sedang dijalankan di Fiji, Ghana, Trinidad dan Tobago serta Iraq.

"Pada masa yang sama, kami kekal fokus untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran eksport semasa. Pelancaran Proton X90, Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama syarikat, dalam tiga pasaran eksport berlangsung hanya tiga bulan selepas pelancarannya di Malaysia pada 7 Mei dan ini membantu meningkatkan imej jenama PROTON di pasaran terbabit.

"Kami melihat ini sebagai pelaburan demi masa depan kerana ia akan membolehkan PROTON mengambil kesempatan keadaan pasaran yang bertambah baik pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, populariti model Proton telah melonjak di Brunei dalam beberapa bulan kebelakangan ini dengan pasaran berjaya mencapai paras tertinggi dalam sejarah.

Kumpulan pertama unit Proton X90 telah dijual dengan pantas dan model lain turut diminati pembeli dalam pasaran dengan anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) tahunan sebanyak 13,000 unit.

Bagi Ogos, jualan kenderaan Proton mencecah paras tiga angka buat kali pertama apabila 100 unit didaftarkan.

"Prestasi jualan kereta Proton yang kukuh di Brunei tahun ini adalah hasil daripada kekuatan barisan model kami serta usaha pengimport kami.

"Dari segi budaya, terdapat banyak persamaan antara pembeli kereta di Brunei dan Malaysia, dan jenama Proton mempunyai sejarah yang panjang di negara ini, oleh itu kami sangat gembira melihat Proton masih boleh mencatatkan pertumbuhan jualan dalam pasaran yang matang," tambah Xu.

Berita Harian X