Khamis, 21 September 2023 | 3:26pm
Gambar hiasan. Kilang pemasangan kereta Proton. - NSTP/ASYRAF HAMZAH
Gambar hiasan. Kilang pemasangan kereta Proton. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

MARii, IOI Indonesia meterai MoU tingkat kerjasama automotif

KUALA LUMPUR: Institut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii) dan Institut Automotif Indonesia (IOI) memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi kerjasama dalam memajukan industri automotif kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, MARii berkata kerjasama paling utama ialah usaha bersama dalam mewujudkan peluang perniagaan untuk vendor automotif tempatan serta industri kecil dan sederhana (IKS) di Malaysia dan Indonesia dengan memudahkan padanan perniagaan, pameran antarabangsa dan usaha sama.

"Ini adalah untuk menggalakkan pertumbuhan dalam pembuatan automotif, alat ganti, dan eksport, dengan tujuan menjadi pembekal serantau dan global," katanya.

MARii berkata MoU itu akan menjurus ke arah penubuhan Institut Automotif Asean dan bentuk penglibatan lain dalam kalangan negara anggota dengan mewujudkan peluang perniagaan, menambah baik pengurusan rantaian bekalan, penyelidikan berkaitan bahan api yang lebih bersih, dan meningkatkan pembuatan bateri dengan matlamat lebih hijau, masa depan automotif yang lebih inovatif.

"MOU itu seterusnya menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong peningkatan inovasi dan kemajuan dalam industri automotif," katanya.

Pengarah bahagian pembangunan perindustrian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Muhammad Zulhilmi Ahmad berkata kementerian percaya melalui kerjasama ini, Malaysia akan dapat memanfaatkan kepakaran dan sumber IOI untuk memupuk kerjasama yang saling menguntungkan bagi menarik pelaburan lebih besar dalam ekosistem automotif.

"Saya yakin kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga untuk kebaikan negara Asean secara keseluruhan untuk bergerak ke arah pemulihan dan kemakmuran bersama untuk masa depan yang mampan," katanya selepas menyaksikan pertukaran MOU di Sidang Kemuncak Asia Kenderaan Elektrik & Mobiliti (EVM) 2023.

– Bernama

Berita Harian X