NANNING, CHINA: Proton Holdings Bhd (PROTON) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile bagi membolehkan pengeluar kereta nasional meneroka potensi untuk menjual kereta elektrik (EV) smart di pasaran ASEAN.
Pemeteraian MoA itu dimuktamad pada Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023, pameran perdagangan tahunan yang bertujuan memudahkan kerjasama ekonomi antara China dan ASEAN.
Menurut PROTON, perjanjian itu dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen yang serupa pada tahun 2022 yang membawa kepada pelantikan PROTON sebagai pengedar rasmi untuk kenderaan smart di Malaysia dan Thailand.
Katanya, MoA berkenaan antara lain adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang PROTON di Tanjung Malim, Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong, berkata MoA baharu antara PROTON dan smart Automobile membawa kerjasama ke tahap baharu memandangkan kedua-dua entiti itu kini dalam perbincangan mengenai memasang model smart di Malaysia.
"Sebagai pengeluar automotif, PROTON sentiasa berhasrat untuk meningkatkan pembabitan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan memandangkan kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely," katanya.
MoA itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdulah dan Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan smart Automobile, Mandy Zhang.
Turut hadir, Presiden Global smart Automobile, Tong Xiangbei; Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET, Zhang Qiang; dan Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Unny Shankar.
Menurut PROTON, berikutan pemeteraian MoA pada 2022, ia telah mengorak langkah besar dalam usahanya untuk mewakili smart di rantau ini.
Perjanjian Pengedaran Am (GDA) telah ditandatangani pada Ogos tahun lalu, diikuti dengan pembentukan PRO-NET, anak syarikat PROTON untuk mewakili kepentingan syarikat dalam segmen EV.
Sejak itu, PROTON telah menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil bekerja khusus dalam industri EV untuk membina kumpulan bakat bagi rancangan pasaran EV masa depan.
Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk memperoleh pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.
Sementara itu, PRO-NET telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Gentari iaitu cabang tenaga boleh diperbaharui PETRONAS, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik 10 pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.
Menurut PROTON, langkah terbaharu ialah pelancaran Hello smartApp baru-baru ini yang menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70 peratus peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.
"PROTON komited untuk memperkenalkan lebih banyak Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pada masa hadapan," katanya.
Chunrong berkata, selepas pelancaran Proton X90, NEV pertama PROTON, pengeluar kereta nasional itu meneroka peluang lebih lanjut tentang EV menerusi kerjasama dengan smart.
"Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau," katanya.