JOHOR BAHRU: Pada ketika ini motosikal bukan lagi sesuatu untuk kelajuan, kegunaan harian dan perlumbaan, ia menjadi gaya hidup, manifestasi minat dan cerminan karektor diri dalam jentera, selain menjadi bahan koleksi sepanjang zaman.
Susulan itu adalah tidak menghairankan apabila Vespa 946 10 Anniversario Edisi Terhad meraikan 'Tahun Arnab', yang diumumkan pada Januari lalu, sudah habis ditempah lebih awal (pre-booked), meskipun dengan harga 'super kayangan' mencecah lebih RM99,000 seunit.
Seorang jurucakap DiDi Group, pengedar rasmi motosikal jenama Vespa di Malaysia, berkata daripada 1,000 unit yang dikeluarkan di peringkat global, kurang daripada 20 unit Vespa dengan grafik karektor arnab ini dihantar untuk pasaran Malaysia.
"Seperti model edisi terhad sebelumnya iaitu 946 RED, 946 Emporio Armani dan Christian Dior, ia sememang menjadi bahan koleksi peminat Vespa dan harga model terpakai pula ada meningkat berkali ganda daripada harga asal. Profil pembeli pula terdiri dari pelbagai latar belakang termasuk artis, ahli perniagaan, pegawai korporat dan lain-lain.
"Model 946 10 Anniversario yang dikeluar sempena Tahun Arnab kalendar Cina adalah yang terbaru dan ia juga mendapat sambutan hangat.
"Ini juga membuktikan penerimaan peminat motosikal khususnya skuter di negara terhadap jenama berkenaan," katanya pada majlis pelancaran acara Vespa Fiesta 2023 yang mengumpulkan pemilik skuter jenama berkenaan dari seluruh negara di sini pada Sabtu lalu.
Vespa 946 10 Anniversario menawarkan bentuk lengkungan ikonik Vespa klasik dengan satu tempat duduk.
Tersemat pada kepak bahagian dalam adalah plet kecil yang memaparkan nombor siri keluaran edisi khas berkenaan.
Seperti sebelumnya model ini dipacu enjin satu silinder 155cc, dengan puncak kuasa 12.7hp pada 7,750 rpm dan 12.8nm pada 6,500 rpm.
Ia dibentuk dengan rangka badan monocoque, tempat pemegang aluminium, panel sisi dan pelana sokongan pada bahagian belakang.
Ia dipadankan dengan roda aloi 12 inci, cakera brek bersaiz 220mm serta angkup brek di depan dan belakang, bersama sistem ABS dua saluran dan ciri kawalan cengkaman.