Isnin, 18 September 2023 | 11:48am
de Visser (kiri) bersama Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambi bersama sedan EV mewah BMW i7 bersempena pelancaran acara ‘Forwardism by BMW’ di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin
de Visser (kiri) bersama Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambi bersama sedan EV mewah BMW i7 bersempena pelancaran acara ‘Forwardism by BMW’ di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Mohd Zaky Zainuddin

BMW kekal jenama EV premium nombor satu di Malaysia

KUALA LUMPUR: BMW Group Malaysia telah menyerahkan 1,600 unit kenderaan elektrik (EV) BMW, MINI dan BMW Motorrad dalam tempoh lapan bulan, sekali gus menjadi pembekal EV premium nombor satu di Malaysia.

Pengarah Urusannya, Hans de Visser, berkata untuk EV sahaja, pengeluar kereta premium itu telah melepasi 1,557 unit EV BMW dan MINI yang diserahkan pada keseluruhan tahun lalu.

Katanya, pencapaian itu mencerminkan komitmen padu BMW Group Malaysia ke atas janji 'Sheer Electric Driving Pleasure', yang memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun.

"Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia, dibantu dengan sokongan daripada pelanggan, wakil pengedar dan rakan kongsi.

"Pencapaian ini mengiktiraf kedudukan kami, bukan sahaja dalam segmen EV premium tapi juga seluruh ekosistem EV di negara ini," katanya pada majlis pelancaran House of Forwardism di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd, Shah Yang Razalli.

Mengulas lanjut, de Visser berkata, BMW Group Malaysia menyedari keperluan untuk menangani kegusaran membabitkan jarak operasi dan isu pengecasan seperti yang dizahirkan oleh ramai bakal pemilik EV di negara ini.

Sehubungan itu, katanya pengeluar kenderaan premium itu meluaskan lagi usaha sama strategik yang dijalin dengan pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses pengecasan EV.

"Kami teruja untuk mempersembahkan konsep kenderaan pengecas mudah alih ini yang telah kami rungkaikan pada awal tahun lagi, kini bersama Gentari.

"Usaha sama yang kami jalin bersama pemain utama seperti mereka menekankan kepercayaan kami bahawa kolaborasi yang mencakupi seluruh industri adalah penting bagi memacu transformasi ke arah Alaf Elektrik Baharu.

"Kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada lebih ramai pemain dalam arena ini untuk meningkatkan komitmen mereka ke atas pengelektrifikasian, justeru memperkayakan lagi ekosistem EV tempatan secara kolektif. Kerjasama ini akan direalisasikan menjelang penghujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, Shah berkata, pelancaran Charge Go bersama BMW menjadi satu lagi penyelesaian inovatif yang mencerminkan pendekatan berpaksikan pengguna oleh Gentari.

Katanya, penyelesaian pengecasan mudah alih itu diwujudkan daripada usaha kolektif pemain dalam industri tempatan, ia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bagi memperkukuhkan ekosistem EV tempatan dalam keupayaannya untuk membangunkan penyelesaian dalam arena EV.

"Penyelesaian Gentari yang mendahului banyak lagi inisiatif lain kami yang akan datang, bermatlamat untuk melapangkan dada pengguna dan menjadikan peralihan ke arah EV lebih mudah," katanya.

Selain pelancaran House of Forwardism, BMW Group Malaysia turut memperkenalkan sedan EV mewah BMW i7.

'Forwardism by BMW' menjadi acara eksklusif anjuran BMW Group Malaysia yang berhasrat untuk mempersembahkan falsafah 'Forwardism' menerusi sebuah pengalaman yang imersif lagi interaktif.

Acara itu membolehkan orang ramai menyaksikan dan mengamati BMW i7 secara lebih dekat di samping meneroka visi BMW Group ke atas kelestarian.

Forwardism adalah 'Pop-Up by BMW', menjanjikan pengalaman yang menarik apabila pengunjung dapat meneroka segala kemungkinan mobiliti lestari menerusi sebahagian model BMW i yang terunggul termasuk BMW iX1, BMW iX3, BMW i4, BMW iX serta BMW i7.

Berita Harian X