KUALA LUMPUR: Sejumlah 4.5 juta kereta PERODUA berada di jalan raya Malaysia sejak 1994 hingga Jun tahun ini, menjadikan ia antara penyumbang utama dalam perkembangan sektor automotif negara hampir tiga dekad lalu.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA), Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata PERODUA menjadi jenama pilihan Malaysia sejak 2006 hingga kini membabitkan aspek jualan.
Katanya, daripada jumlah itu, model paling laris dalam sejarah penubuhan syarikat pengeluar kereta kompak nasional itu adalah Perodua Myvi membabitkan 1.4 juta unit, diikuti Kancil sebanyak 708,527 unit dan Axia 611,787 unit.
"Pada tahun ini pula, PERODUA menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 330,000 unit kenderaan dan menjual 314,000 unit.
"Setakat Januari hingga Jun tahun ini, kami mengeluarkan 153,813 kenderaan, iaitu peningkatan 17 peratus berbanding 131,641 unit dikeluarkan dalam tempoh sama pada 2022.
"Peningkatan pengeluaran ini membolehkan kami menjual 144,690 kenderaan bagi separuh pertama tahun ini berbanding 127,343 unit yang dijual dalam tempoh sama pada 2022. Kami yakin prestasi Julai hingga Disember tahun ini juga akan lebih baik kerana jumlah hari bekerja lebih banyak berbanding suku pertama dan kedua tahun ini," katanya kepada BH.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, pihaknya sentiasa berusaha membaiki cadangan nilai produk dan perkhidmatan demi rakyat Malaysia, pada masa sama, mengekalkan harga kenderaan pada tahap mampu milik tanpa menjejaskan kualiti kami.
"Penambahan nilai dimaksudkan dapat dilihat dengan kewujudan sistem pemanduan seperti semi-autonomous (Tahap 2) yang merangkumi fungsi Kawalan Jelajah Adaptif dan sistem Kawalan Kekal Lorong pada varian tertentu.
"Pada kebiasaannya, ciri seperti ini hanya ada pada kenderaan yang berharga lebih RM100,000 sahaja. Tambahan lagi, nilai kenderaan terpakai model PERODUA adalah antara yang terbaik di pasaran. Keupayaan kenderaan kami terbukti di samping kos penyelenggaraannya yang rendah," katanya.
Beliau menjelaskan, PERODUA sentiasa menambah baik produk dan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan.
Katanya, antara langkah untuk mencapai matlamat berkenaan adalah dengan berinteraksi dengan pelanggan bagi mengetahui tahap kepuasan terhadap produk dan perkhidmatan yang disediakan.
"Selain itu, Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kami juga sering membuat tinjauan dan menemubual orang awam bagi mendapatkan pandangan serta mengetahui kehendak serta cita rasa mereka.
"Ini termasuk jenis reka bentuk diingini, ciri teknologi yang dikehendaki dan paras harga jualan yang boleh diterima oleh orang ramai.
"Melalui proses ini, kami dapat memahami kehendak pelanggan dan akan cuba yang terbaik untuk memenuhi permintaan mereka pada masa hadapan," katanya.
Mengenai harga mampu milik, Zainal Abidin berkata, PERODUA menerapkan konsep seperti Kaizen (proses penambahbaik berterusan) dan MUDA elimination (aktiviti menghapuskan pembaziran) dalam setiap operasi, selain aspek berkenaan turut diterapkan dalam operasi vendor serta pengedar.
Katanya, melalui aktiviti itu, PERODUA dapat mengawal peningkatan kos kepada operasi.
"Faktor lain yang membantu kami membendung kenaikan kos termasuklah mengurangkan pergantungan kepada impak mata wang asing dengan membeli komponen tempatan.
"Secara purata, kami membeli 95 peratus daripada komponen kenderaan daripada vendor tempatan dan pendedahan terhadap kos mata wang asing kepada operasi adalah terhad.
"Tambahan pula, kami bekerjasama dengan rakan teknikal untuk memastikan kos pembelian komponen rendah dan dibuat secara pukal. Ini memberikan skala ekonomi yang positif kepada pembekal. Melalui tindakan dan aktiviti berkaitan, PERODUA dapat mengurangkan impak kenaikan harga bahan mentah di pasaran antarabangsa," katanya.
Beliau menambah, PERODUA bersama rakan teknikal juga sedang berusaha mendapatkan bekalan baharu dalam memastikan pengeluaran tidak terganggu.
"Walaupun situasi kekurangan cip semikonduktor ini lebih terkawal berbanding tahun lalu, ia masih lagi memberi kesan kepada operasi kami," katanya.