KUALA LUMPUR: Langkah Tesla menawarkan harga permulaan untuk kereta elektrik (EV) yang jauh lebih rendah daripada anggaran pelbagai pihak, di lihat memberi tamparan hebat kepada jenama EV lain di Malaysia, jelas penganalisis automotif, Hezeri Samsuri.
Ia sekali gus menghangatkan lagi persaingan dalam pengeluaran dan pemasangan EV di negara ini.
Semalam, Tesla secara rasmi melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Model Y elektrik sepenuhnya di Malaysia yang ditawarkan pada harga bermula daripada RM199,000 (RWD); RM246,000 bagi Model Y varian jarak jauh dan RM288,000 bagi Model Y prestasi tinggi.
Tempahan untuk model itu telah dibuka dan penyerahan pertama Model Y kepada pelanggan adalah pada awal 2024.
Hezeri berkata, tindakan pengeluar EV milik hartawan terkemuka, Elon Musk juga memberi kesan kepada jenama lain, lebih-lebih lagi dengan kedudukan Tesla sebagai jenama premium dalam rangkaian produk EV dunia.
"Ya benar, Tesla baru-baru ini menurunkan harga produk mereka di seluruh dunia dan terbukti ia meningkatkan jualan produk Tesla. Nampaknya, di Malaysia, harga permulaan untuk produk EV jauh di luar jangkaan semua. Ini memberikan tamparan hebat kepada jenama lain kerana dalam industri EV, Tesla ialah sebuah produk premium," katanya kepada BH.
Hezeri berkata, langkah Tesla juga membuatkan jenama EV lain perlu menilai semula harga produk mereka kerana nyata sudah terlalu tinggi.
"Tesla juga nampaknya memberikan satu 'kelainan' dari sudut perundangan negara dalam industri automotif. Contohnya, Tesla seperti tidak ada wakil syarikat tempatan untuk mengimport masuk kenderaan mereka dan fi tempahan tidak boleh dikembalikan.
"Ia berbeza dari arahan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dahulu di mana syarikat kenderaan perlu memulangkan kembali wang tempahan sekiranya ada sebab-sebab yang tak dapat dielakkan.
"Mungkin kerajaan sekarang perlu 'sokongan' dari jenama seperti Tesla untuk maju ke depan tetapi adakah keistimewaan ini akan diguna pakai oleh syarikat automotif yang lain?," katanya.
Beliau menjelaskan, adakah penjualan kenderaan secara dalam talian kini dibenarkan oleh kerajaan kerana sebelum ini, ia tidak dibenarkan.
"Tesla tidak mengamalkan cara penjualan kenderaan yang konvensional dan ia menjual kenderaan secara dalam talian di pasaran luar.
"Apa pun, pelancaran Tesla dengan harga yang terlah dinyatakan memang 'mengacau' pasaran EV yang lain. Kesan pertama pertama ialah bagaimana pemegang Permit Import (AP) tempatan membuat 'fire sale' untuk stok Tesla mereka," katanya.
Tesla Model Y adalah model elektrik paling laris di dunia dan menjadi antara kereta paling selamat di jalan raya dengan penarafan 5-bintang daripada NHTSA dan Euro NCAP.
Model Y boleh didapati dalam versi Model Y (pacuan roda belakang dan pecutan) hingga 100 km/j dalam masa 6.9 saat.
Bagi Model Y jarak jauh (pacuan semua roda dan dwi-motor), ia ditawarkan dengan jarak pemanduan lebih jauh iaitu 533 km.
Kelajuan maksimum varian itu adalah 217 km/j dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.0 saat.
Varian terakhir adalah Model Y prestasi tinggi (pacuan semua roda dan dwi-motor) yang menawarkan jarak pemanduan 514 km dan lebih laju dengan kelajuan maksimum 250 km/j dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.7 saat sahaja.
Untuk pasaran Malaysia, ketiga-tiga varian itu ditawarkan bergantung kepada konfigurasi trenkuasa dan tidak ketinggalan pilihan untuk memadankan ciri Autopilot dan Full Self Driving (FSD).
Terdapat lima pilihan warna iaitu Pearl White Multi-Coat, Solid Black, Midnight Silver Metallic, Deep Blue Metallic, dan Red Multi-Coat.