Khamis, 20 Julai 2023 | 2:48pm
Kemasukan Tesla dapat membantu kerajaan mencapai sasaran penggunaan EV di Malaysia - Foto Reuters
Kemasukan Tesla dapat membantu kerajaan mencapai sasaran penggunaan EV di Malaysia - Foto Reuters

EV sedia peluang kerja berkemahiran tinggi untuk rakyat

KUALA LUMPUR: Kemasukan berterusan syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) untuk memperkenalkan model masing-masing di Malaysia akan mewujudkan lebih banyak peluang untuk rakyat serta perniagaan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), Liew Chin Tong, berkata Malaysia akan mendapat manfaat daripada kewujudan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi baharu dengan gaji yang lebih setimpal.

"Pembangunan industri itu merangkumi kemudahan pembuatan termasuk teknologi dan perisian selain perkongsian ilmu serta mengukuhkan tenaga kerja mahir tempatan," katanya pada majlis pelancaran Tesla Model Y di sini, hari ini.

Chin Tong berkata, pengenalan jenama EV global seperti Tesla dapat membantu kerajaan mencapai sasaran penggunaan kenderaan sedemikian di Malaysia.

"Bukan hanya Tesla, malah jenama EV lain yang masuk ke pasaran tempatan dapat mewujudkan ekosistem yang lebih baik. Ini bukan saja tertumpu kepada penggunaan kenderaan EV tetapi pembangunan industri yang lebih menyeluruh," katanya.

Beliau berkata, elemen penting dalam industri EV adalah mengukuhkan infrastruktur terutamanya membabitkan stesen pengecasan.

"Ketika ini, kita mempunyai lebih 1,000 stesen pengecasan dan sasaran adalah sebanyak 10,000 stesen menjelang 2025.

"Masih banyak perlu dibuat terutamanya dalam menambah baik hala tuju EV, memberi lebih banyak dorongan bagi permudahkan dan penyegeraan dasar kerajaan," katanya.

Chin Tong berkata, kerajaan juga menambahbaik hala tuju penggunaan EV negara dengan mewujudkan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC).

"Jawatankuasa ini akan disertai pelbagai kementerian dan agensi berkaitan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, agensi itu telah meluluskan 58 projek berjumlah RM26.2 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitannya dari 2018 hingga Mac 2023.

Beliau berkata, pelaburan yang diluluskan merangkumi pelbagai bidang, termasuk pemasangan EV, pembuatan alat ganti dan komponen EV serta komponen pengecasannya.

"Disebabkan permintaan untuk pengangkutan mampan terus meningkat, sokongan dan kemudahan MIDA terhadap projek itu menyumbang kepada kemajuan sektor EV di Malaysia, memupuk pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan masa depan yang lebih hijau," katanya.

Mengenai keputusan Tesla untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pengembangannya pula, Arham berkata, ia menyerlahkan daya tarikan negara ini sebagai hab pelaburan serantau

"Kami berbesar hati menyokong Tesla mewujudkan operasi dan membina kehadiran kukuh dalam pasaran Malaysia.

"Pertumbuhan mobiliti elektrik akan memainkan peranan penting dalam pembangunan mampan Malaysia dan kami percaya bahawa Tesla akan memainkan peranan penting dalam perjalanan ini," katanya.

Berita Harian X