KUALA LUMPUR: Perusahaan Otomobil Nasional (PROTON) menerima hampir 5,000 unit tempahan untuk Proton X90 sejak dilancarkan pada Mei lalu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah berkata sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan sehingga ke hari ini sudah lebih 500 unit diserahkan kepada pelanggan.
"Kami menjangkakan penghantaran kepada pelanggan akan bertambah pada Julai nanti dan tempoh menunggu kini juga adalah kurang dari enam bulan untuk mendapatkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-D ini," katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian Pusat Pengalaman Digital Proton DX di sini, hari ini.
Perasmian disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang yang turut dihadiri Pengerusi PROTON, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif ACO Tech; Li Pu dan Ketua Pegawai Eksekutif China Construction Bank Malaysia, Wang Qijie.
Varian Flagship X90 adalah pilihan utama pembeli PROTON dan model serba baharu itu juga membantu menambah jumlah sasaran jualan untuk PROTON pada tahun ini melebihi yang dicatatkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 141,432 unit.
Selain itu, model Saga terus menjadi model paling laris jualan PROTON selain X50 yang menjadi pilihan utama pembeli di negara ini.
Dalam majlis semalam, PROTON menerusi anak syarikatnya, Aco Tech yang dimiliki bersama oleh Altel dan Ecarx memperkenalkan Proton DX di Quill City Mall.
Proton DX disasarkan untuk peminat kereta dan teknologi daripada semua peringkat usia serta mengembangkan minat golongan muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Berkeluasan 5,275 kaki persegi meliputi enam zon dalam menawarkan pengalaman konsep dan visual yang menggabungkan inovasi mobiliti masa hadapan.
Menyentuh mengenai perkembangan teknologi kenderaan tenaga baharu (NEV), PROTON menerusi anak syarikatnya Pro-Net sebagai pengedar kenderaan elektrik (EV) smart Automobile Company (smart) bakal melancarkan model #smart1 untuk pasaran tempat pada suku keempat tahun ini.
Buat masa ini sudah terdapat tujuh pengedar jenama itu dan menyasarkan untuk menjadikan sembilan pengedar secara keseluruhan pada hujung tahun ini.
Sementara itu, Li berkata, mobiliti pintar dalam industri automotif berkembang dengan pantas dan pihaknya teruja untuk menyediakan penyelesaian yang meningkatkan pengalaman pemanduan, menjadikan setiap pemanduan adalah baik untuk rakyat Malaysia.
"PROTON DX adalah salah satu platform yang mempamerkan kepakaran kami. Pusat ini menawarkan ruang yang mengujakan untuk semua orang mempelajari mengenai teknologi inovatif yang digunakan dalam kereta dan pada masa sama, memberikan pengalaman yang melangkaui pemanduan di jalan raya," katanya.