Khamis, 8 Jun 2023 | 2:19pm
Sagree (kiri) dan Plangger memperkenalkan Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ dan EQE 53 4MATIC+
Sagree (kiri) dan Plangger memperkenalkan Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ dan EQE 53 4MATIC+

Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+, EQE 53 4MATIC+ kereta masa depan

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan model Prestasi Pemanduan Masa Depan menerusi pengenalan Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ dan EQE 53 4MATIC+.

Kedua-dua model baharu ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM798,888 bagi model Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+, manakala EQE 53 4MATIC+ pula bermula RM649,888.

Bagi Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+, ia adalah model elektrik (EV) penuh pertama yang didatangkan dengan sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic+ sepenuhnya, hasil janaan dua motor elektrik diletakkan pada setiap gandar.

Ia menghasilkan keseluruhan output 658 kuasa kuda (hp) atau 484 kW dan tork 950 Nm dengan pecutan 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa sekitar 3.8 saat dan kelajuan maksimumnya 220 km/j.

Bagi mendapatkan daya tarikan yang lebih optimum, sistem pacuan semua-roda akan berterusan memantau situasi pemanduan dan pengedaran tork bagi antara gandar.

Dalam mod Comfort, sistem menyasarkan penjimatan yang paling maksimum, tetapi dengan Sport dan Sport+, pacuannya lebih besar pada bahagian belakang untuk sisi dinamik terbaik.

Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+
Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+

Jika mahukan lebih biasa, varian ini menawarkan pakej AMG Dynamic Plus dengan ledakan kuasa yang lebih padu mencecah 761 hp atau 560 kW dan 1,020 Nm.

Ia turut diberikan mod Race Start dengan fungsi boost di mana pecutan dari 0-100 km/j boleh dicapai dalam 3.4 saat dan kelajuan maksimum mampu cecah 250 km/j.

Bagi varian EQE 53 4Matic+ ia adalah model tunggal EV bagi EQE didatangkan dengan sistem pacuan empat roda dengan motor elektrik yang ditempatkan pada setiap gandar.

Ia mampu memberikan keseluruhan sistem outpun mencecah 625 hp atau 460 kW dan tork 950 Nm. Pecutan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 3.5 saat dan kelajuan maksimum mencecah 220 km/j.

Untuk lebih kuasa, pakej pilihan AMG Dynamic Plus turut ditampilkan untuk varian ini yang mampu meningkatkan lonjakan kuasa hingga 687 hp atau 505 kW dan tork 1,000 Nm, dengan pecutan dari titik pegun ke 100 km/j pada 3.3 saat dan kelajuan puncak 240 km/j.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien, berkata pengenalan model AMG elektrik menandakan satu langkah besar ke hadapan.

"Kami percaya bahawa kelestarian dan keseronokan boleh wujud bersama, dan Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ dan EQE 53 4MATIC+ merangkumi visi ini.

Mercedes-AMG EQE 53 4MATIC+
Mercedes-AMG EQE 53 4MATIC+

"Kenderaan ini adalah bukti usaha berterusan kami ke arah inovasi dan menjangkaui sempadan dalam segmen EV berprestasi tinggi," katanya ketika melancarkan dua varian berprestasi tinggi itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Jualan & Pemasaran, Mercedes-Benz Malaysia & Asia Tenggara II, Bettina Plangger berkata, Mercedes-AMG EQS 53 4MATIC+ dan EQE 53 4MATIC+ menunjukkan komitmen pengeluar terbabit untuk menawarkan prestasi tiada tandingan.

"Dengan estetika yang mengagumkan dan kemajuan elektrik yang canggih, kenderaan ini mentakrifkan semula sempadan kecemerlangan pemanduan, mempamerkan gabungan luar biasa prestasi ikonik AMG serta kemungkinan tanpa had dalam era elektrik," katanya.

Berita Harian X