SUBANG JAYA: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) memacu smart Malaysia ke peringkat lebih tinggi dengan pelantikan strategik lima lagi pengedar berprestij dalam usaha menawarkan kecemerlangan automotif dan penyelesaian mobiliti yang tercanggih.
Selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand, pelantikan itu dijangka akan meningkatkan jualan kenderaan elektrik berinovasi serba baharu syarikat, smart #1 yang bakal memukau rakyat Malaysia pada penghujung 2023.
Pengedar baharu itu terdiri daripada Smart Mobility Sdn Bhd (Smart Mobility), GB Auto Sdn Bhd (GB Auto), Eleganz Lifestyle Sdn Bhd (Eleganz Lifestyle), Lee Motors (Alor Star) Sdn Bhd (Lee Motors) dan Sigma Energy EV Sdn Bhd (Sigma Energy EV).
Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET, Zhang Qiang, berkata smart melambangkan penyelesaian mobiliti kenderaan elektrik (EV) premium yang menggabungkan teknologi terkini dan reka bentuk futuristik.
"Oleh itu, sangat penting bagi setiap pengedar yang dipilih memenuhi janji jenama kami dengan memberikan bukan saja perkhidmatan terbaik, tetapi juga pengalaman yang unik kepada setiap pemilik kenderaan smart," katanya dalam satu kenyataan.
Selaras dengan pelan pelancaran produk smart di Malaysia, strategi pelantikan awal pengedar smart bergantung kepada lokasi strategik mereka yang berada di beberapa bandar dan lokasi utama di seluruh Semenanjung Malaysia.
Terletak di penempatan mewah Bangsar, Smart Mobility akan menyasarkan kepelbagaian spektrum pelanggan di sekitar lokasi berkenaan, daripada eskpatriat kepada individu korporat berprofil tinggi.
Sementara itu, kedudukan strategik GB Auto di sepanjang jalur automotif Ipoh, Perak bersama beberapa jenama berprestij yang lain, memudahkan lagi akses dan memberi keselesaan kepada pelanggan.
Tiga rakan kongsi tambahan yang lain termasuk Eleganz Lifestyle, pengedar kereta 4S terkenal, Lee Motors dan Sigma Energy EV yang masing-masing menjalankan perniagaan di premis milik sendiri yang terkemuka dan terletak dalam zon automotif akan memberikan pengalaman baharu kepada pelanggan jenama smart di Pulau Pinang, Kedah dan Melaka.
Zhang Qiang menjelaskan, sebanyak tujuh pengedar telah dilantik bulan ini termasuk Hap Seng Smart dan Edaran Otomobil Nasional (EON) dalam usaha mendapatkan pelanggan yang berpotensi sebelum pelancaran smart #1 pada suku keempat tahun ini.
Lebih ramai rakan kongsi sedang dipertimbangkan untuk bekerjasama dengan PRO-NET, termasuk syarikat yang berpangkalan di Pantai Timur, di mana PRO-NET merancang untuk memperkenalkan jenama smart pada tahun hadapan.
Pelantikan pengedar baharu itu adalah sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk memperkenalkan jenama auto terbaharu premium, pintar dan elektrik sepenuhnya kepada pasaran tempatan, termasuk penubuhan pusat jenama smart serba baharu atau smart Space sebagai pusat sehenti untuk kemudahan dan penggunaan EV.
Pusat sehenti smart akan menawarkan penyelesaian mobiliti kepada pelanggan EV smart, di mana semua cawangan akan dilengkapi dengan sokongan perkhidmatan dan jualan sepenuhnya untuk memberi pelanggan ketenangan fikiran selain menawarkan pengalaman premium dan perkhidmatan tambahan lain termasuk perkhidmatan baik pulih dan pengecasan pantas serta pusat penghantaran.