KUALA LUMPUR: TC Euro Cars (TCEC), pemegang francais tunggal kenderaan Renault di Malaysia melancarkan Renault Zoe Elektrik Penuh baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM165,000.
Ditawarkan dengan dua varian, Zoe R110 dijual pada harga atas jalan tanpa insurans RM165,000, manakala Zoe R135 pula bermula RM179,000.
TCEC juga menawarkan pelan langganan Fixed Plan menerusi platform Renault Subscription untuk 12 hingga 36 bulan bagi kedua-dua varian.
Zoe R110 ditawarkan dengan pilihan langganan tiga tahun (RM2,799 sebulan), dua tahun (RM3,299 sebulan) dan setahun (RM3,799 sebulan).
Zoe R135 pula dengan pilihan langganan 3-tahun (RM2,999 sebulan), 2-tahun (RM3,499 sebulan) dan 1-tahun (RM3,999 sebulan).
Bayaran bulanan termasuk insurans, kos servis biasa dan kabel Type 2 AC.
Dilengkapi bateri terkini Renault 52kWh, Zoe baharu menawarkan lebih kuasa sehingga 135 PS dan tork 245 NM, serta jarak perjalanan mencecah 395 kilometer (km) mengikut piawaian WLTP.
Di samping tempoh pengecasan 0-100 peratus yang mendahului kelasnya iaitu cuma tiga jam menggunakan pengecasan AC 22 kW.
"Sejak sekian lama, Renault Zoe telah mengukuhkan posisinya sebagai antara perintis dalam segmen kereta elektrik urban di dunia. Ia telah meningkatkan penanda aras, terima kasih kepada peningkatan kuasa dan jarak.
"Dengan rekaan tersendiri yang segar, bahagian dalaman lebih moden dan pelbagai teknologi, Zoe baharu menjanjikan keseronokan memandu jentera 100 peratus elektrik di bandar ke satu dimensi baharu," kata Ketua Pegawai Eksekutif TCEC, Wong Hoe Mun.
EV ini menampilkan bateri Z.E. 50 generasi seterusnya yang sama dengan model terdahulu, tetapi mempunyai kapasiti tenaga lebih tinggi iaitu 52 kWh.
Hasilnya, ia mampu menawarkan lebih kuasa dengan peningkatan lebih 20 peratus berdasarkan kepada piawaian WLTP – 395 km untuk Zoe R110 dan 386 km bagi Zoe R135 yang lebih berkuasa.
Kedua-dua varian itu menggunakan kotak gear satu kelajuan untuk menggerakkan roda hadapan, tetapi dengan konfigurasi motor yang berbeza. Zoe R110 dilengkapi motor berkuasa 80 kW yang menawarkan kuasa 110 PS dan tork 225 Nm.
Angka itu membolehkannya memecut dari 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 11.4 saat dengan pecutan maksimum 135 km/j.
Zoe R135 menerima motor 10 0kW yang berupaya menghasilkan kuasa 135 PS dan tork 245 Nm. Ia boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 9.5 saat dengan pecutan maksimum 140 km/j.
Renault Zoe baharu menyokong pengecasan pantas sehingga 50 kW dengan sambungan CCS2 yang membolehkan pengecasan dari 10-80 peratus dalam masa 70 minit. Manakala pengecasan menggunakan AC Type 2 22 kW menawarkan 0-100 peratus dalam masa yang mendahului kelasnya iaitu hanya tiga jam.
Mode B pula berfungsi meningkatkan kecekapan brek regeneratif Zoe baharu, dengan menukar tenaga kinetik menjadi elektrik sebanyak mungkin untuk meningkatkan jarak perjalanan.
Mode B juga menjadi pemanduan lebih mudah, terutama di bandar atau dalam kesesakan jalan raya. Ia meningkatkan aspek nyahpecutan sebaik sahaja pedal dilepaskan, sekali gus mengurangkan keperluan untuk menekan brek.
Dari aspek rekaan, walaupun dimensi Renault Zoe baharu kekal sama (4,087mm panjang, 1,562mm tinggi, 1,945mm lebar), penambahbaikan yang besar pada bahagian luaran menjadikannya lebih menarik dan tersendiri.
Hud hadapan telah direka semula sepenuhnya dengan penampilan yang lebih maskulin. Kontur baharu terarah ke bahagian tengah wajah dengan holografik logo permata Renault, yang menempatkan ruang pengecasan baharu.
Bampar hadapan baharu membuatkan penampilan keseluruhan Zoe baharu nampak lebih lebar.
Ia turut dipasang dengan kemasan krom pada gril, lampu utama dan di sekeliling lampu kabus, sekali gus meningkatkan rupa bahagian bawahnya.
Corong pengambilan udara pada bahagian sisi direka khas untuk menambah baik aliran angin, seterusnya mengurangkan halangan aerodinamik demi memberikan pengendalian serta jarak yang lebih baik.
Renault Zoe baharu juga dipasang dengan lampu LED sepenuhnya yang merangkumi lampu utama Pure Vision, lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk C, lampu kabus, lampu isyarat membelok belakang dinamik dan amaran isyarat membelok pada cermin sisi.
Kabin Renault Zoe baharu pula dimodenkan dengan panel instrumen digital untuk pemandu bersaiz 10 inci yang telah direka semula. Paparan boleh ubah itu memaparkan sistem bantuan pemanduan utama dan semua tetapan spesifik dengan pemanduan elektrik seperti eco-meter.
Panel itu juga memaparkan indikasi GPS pada varian Zoe R135 yang hadir dengan navigasi secara offline sebagai ciri standard.
Sebagai tambahan, paparan horizon dan kesan perspektif yang pelbagai membantu pemandu agar lebih fokus ketika memandu.
Terdapat banyak ruang yang berguna di dalam Zoe baharu. Konsol tengah baharu kini menawarkan dua kali ganda ruang penyimpanan yang merangkumi dua tempat meletak botol minuman dan satu ruang untuk pengecasan telefon tanpa wayar.
Ruang but bagaimanapun tidak berubah iaitu 338 liter.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan empat beg udara (dua di depan dan dua di bahagian sisi), selain ciri amaran penukaran lorong (LDW), kawalan kestabilan elektronik (ESC), anti-slip regulation (ASR), ABS, bantuan brek kecemasan (EBA) dan bantuan mendaki (HSA).
Zoe R135 pula ditambah dengan ciri lampu tinggi adaptif (AHB), amaran titik buta dan bantuan parkir bebas tangan.
Kedua-dua varian hadir dengan jaminan tiga tahun/100,000 km untuk kenderaan dan rangkaian kuasa elektrik. Bateri EV dilindungi jaminan selama lapan tahun/160,000 km dengan kapasiti minimum 70 peratus.