Rabu, 10 Mei 2023 | 9:36pm
Konsep bilik pameran smart di Balakong, Selangor - Foto ihsan PROTON
Konsep bilik pameran smart di Balakong, Selangor - Foto ihsan PROTON

Proton New Energy lantik Hap Seng jadi pengedar EV smart

SUBANG JAYA: Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), melakar kejayaan baharu dalam pembangunan kenderaan tenaga baharu (NEV) dengan melantik Hap Seng Smart Sdn Bhd sebagai pengedar sah pertama kenderaan smart.

Pelantikan ini membuka peluang kepada PRO-NET selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) serba baharu berinovasi, smart #1 di Malaysia pada penghujung tahun 2023.

Ia juga sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk membawa kecemerlangan automotif EV ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua komponen iaitu pelantikan pengedar premium baharu dan penubuhan Pusat Jenama smart serba baharu atau smart Space.

Sinonim dengan jenama automotif premium, pelantikan Hap Seng Smart mencerminkan komitmen PRO-NET untuk menembusi pasaran automotif model eksklusif dan pada masa yang sama menjadi peneraju jenama automotif EV terkemuka di Malaysia dan Asia Tenggara.

Hap Seng Smart akan memanfaatkan kepakaran teknikal syarikat induknya, Hap Seng Group yang telah bertapak sebagai peneraju pengedar automotif terkemuka di Malaysia dengan memiliki sejarah di dalam penjualan automotif lebih 50 tahun.

Dengan penyertaan sebagai sebahagian daripada keluarga smart EV, pelantikan ini akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama smart di wilayah tengah.

Bilik pameran pertama akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diikuti sebuah lagi bilik pameran di Balakong, Selangor.

"PRO-NET percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik malah turut menyediakan kemudahan yang komprehensif dan pengalaman yang unik kepada

pelanggan.

"Pelantikan ini menandakan kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium dan juga pasaran EV terbaharu di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Bhd dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend turut berkongsi keterujaannya terhadap lembaran baharu bersama PRO-NET yang dianggap sejajar dengan matlamat mereka untuk menjadi peneraju kepada industri EV dalam usaha menyokong aspirasi EV negara.

"Jalinan kerjasama antara Kumpulan Hap Seng melalui Hap Seng Smart dan PRO-NET mencerminkan bukan sahaja keyakinan kami terhadap daya tarikan universal jenama smart malah turut memperlihatkan komitmen kami di dalam menyokong agenda mobiliti hijau bagi mencapai matlamat mobiliti rendah karbon di Malaysia," katanya.

Kumpulan Hap Seng berkembang menjadi peneraju pasaran yang terkemuka bagi pengedaran Mercedes-Benz di Malaysia.

Hubungan Kumpulan Hap Seng dengan jenama Mercedes-Benz bermula pada 1969 apabila dilantik sebagai pengedar sah untuk trak, bas, kenderaan penumpang dan alat ganti jenama itu.

Berita Harian X