SERDANG: Superlux Auto Sdn Bhd, pengedar motosikal elektrik menjalinkan kerjasama dengan SarkCyber Innovation dari Shanghai, China bagi mengeluarkan tiga model skuter elektrik sepenuhnya ke pasaran pengguna Malaysia.
Pengarah Urusannya, Fahmi Barakbah Mohamed Salleh, berkata ketiga-tiga model yang akan dilancarkan September ini bakal mengubah pasaran motosikal elektrik sepenuhnya di Malaysia.
"Kebiasaannya motosikal elektrik menggunakan sistem pajakan kerana belum dapat dipasarkan secara meluas kepada pengguna akhir.
"Kami mahu jadikan penjualan motosikal elektrik sama seperti motosikal biasa. Justeru, kami akan menggerakkan langkah yang agresif untuk merealisasikannya," katanya ketika ditemui pada Malaysia Autoshow 2023 di sini.
Superlux akan memasang tiga model skuter elektrik iaitu HC10 yang akan ditawarkan pada harga bawah RM40,000; HC200 (bawah RM10,000); dan eB1 (bawah RM5,000).
Bagi HC10, skuter terbabit hadir dengan spesifikasi seperti kelajuan 125 kilometer sejam (km/j), kuasa maksimum 18,000 watt, tork puncak 350Nm, jarak perjalanan 180 kilometer (km).
Bagi HC200 pula ia hadir dengan spesifikasi seperti jarak perjalanan 73 km, kelajuan maksimum 70 km/j; kuasa maksimum 4,500 watt, tork puncak 135Nm.
eB1 pula lebih ekonomi apabila hadir dengan kuasa maksimum 800 watt; tork (120Nm); jarak perjalanan 50km; dan kelajuan 50km/j.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, ketiga-tiga model akan dipasang di kilang milik anak syarikat induknya, Elitesoft Capital Bhd iaitu Roda Prestasi Sdn Bhd di Sungai Petani, Kedah.
Katanya, kemudahan pemasangan berkenaan sudah dimulakan awal bulan ini sebelum perasmian model berkenaan dilaksanakan.
"Untuk ketiga-tiga model ini, kami menyasarkan untuk menjual 75,000 unit menjelang 2027," katanya.
Dari aspek infrastruktur pula, beliau berkata, Superlux akan mewujudkan 15,000 pusat penukaran bateri di rangkaian pengedaran di seluruh negara menjelang 2027.
"Setahun, kami akan mewujudkan sekitar 20 peratus pusat penukaran bateri bagi memudahkan pelanggan.
"Selain itu, kami juga menyediakan soket kerana bateri ketiga-tiga model ini boleh dicabut dengan mudah dan dicaj di rumah. Sekali cas penuh dianggarkan mengambil masa sekitar tiga jam sahaja," katanya.