Jumaat, 5 Mei 2023 | 3:13pm
Neta V yang ditawarkan pada harga di bawah RM100,000 seunit.
Neta V yang ditawarkan pada harga di bawah RM100,000 seunit.

Neta V, SUV kompak EV bawah RM100,000

SERDANG: Go Auto Group Sdn Bhd, menerusi anak syarikatnya Intro Synergy Sdn Bhd dijangka menjadikan persaingan dalam pasaran kereta elektrik (EV) tempatan lebih sengit apabila membawa masuk model EV, Neta V yang ditawarkan pada harga di bawah RM100,000 seunit.

Intro Synergy yang juga pengedar tunggal Neta di Malaysia sudahpun membuka tempahan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak pertama jenama Neta, milik prisipal EV berpangkalan di Shanghai, China dikenali sebagai Hozon New Energy Automobile bersempena Malaysia Autoshow 2023.

Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Go Auto, Mohd Norazli Mohd Salleh, berkata Neta V ditawarkan hanya satu varian untuk pasaran Malaysia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM99,800, sekali gus membuka 'gelanggang' baharu dalam pasaran EV di Malaysia.

Katanya, bagi 100 pembeli pertama yang menempah Neta V, mereka akan menikmati baucar RM10,000 yang boleh digunakan untuk bayaran muka, kit badan atau pemasangan pengecas kediaman.

"Neta V akan diperkenalkan secara rasmi suku ketiga tahun ini. Fokus utama kami adalah memperkenalkan EV pada harga bawah RM100,000. Kami tidak mahu dikatakan menjadi sebagai 'game changer' dalam pasaran EV kerana menawarkan harga yang lebih rendah berbanding jenama lain tetapi mahu menjadikan EV, kenderaan yang boleh dimiliki rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui BH di Malaysia Autoshow 2023 di sini, hari ini.

Neta V adalah model Touchable Smart EV di mana ia direka untuk menawarkan pilihan mesra alam dan lestari untuk pemandu Malaysia

Model ini dikuasakan oleh pek bateri 38.5kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 380 kilometer (km) dengan sekali cas.

Motor elektrik kereta itu menghasilkan kuasa sehingga 95kW dan tork maksimum 160Nm, sekali gus membolehkan Neta V memecut dari 0 hingga 50 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.9 saat sahaja.

Neta V menyokong pengecasan pantas dan perlahan, selain melalui pengoptimuman sistem pengurusan bateri, di mana masa mengecas boleh dipendekkan (pengecasan pantas DC 30 hingga 80 peratus hanya mengambil masa 30 minit).

Bahagian dalam kereta menampilkan reka bentuk moden yang minimalis dengan bahan premium dan teknologi canggih, termasuk skrin infotainment 14.6 inci, dan pelbagai ciri keselamatan, seperti kawalan pelayaran adaptif, ABS, EBD, EPB, EHB serta dwi beg udara.

Neta V turut hadir dengan pakej waranti badan selama 10 tahun atau sehingga 200,000 km, waranti bahagian am 5-tahun atau sehingga 150,000 km dan jaminan bahagian voltan tinggi EV selama 8-tahun atau sehingga 180,000 km.

Mengulas lanjut, Mohd Norazli berkata, Intro Synergy menyasarkan untuk menjual sekitar 500 hingga 1,000 unit tahun ini, sebelum menjangkakan jumlahnya bertambah dua kali ganda pada 2024.

"Neta V adalah EV peringkat permulaan atau entry level. Model ini dijual sebanyak 150,000 unit di pasaran China tahun lalu. Di Thailand pula, ia diperkenalkan juga tahun lalu dan menjadi antara lima jenama model EV terlaris bagi tempoh Januari hingga April tahun ini," katanya.

Beliau menjelaskan, perjanjian yang dimeterai antara Intro Synergy dan Hozon selama lima tahun membolehkan syarikat itu memperkenalkan lebih banyak model EV ke pasaran Malaysia, selain boleh meneroka pasaran lain di ASEAN termasuk Singapura, Indonesia dan Singapura.

"Kami akan memperkenalkan model Neta U iaitu EV SUV pada suku kedua tahun depan, sebelum melancarkan sedan sport, Neta S pada suku pertama 2025.

"Buat masa ini, kami mahu memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam pasaran EV tempatan sebelum meneroka pasaran ASEAN lain. Sasaran kami untuk merebut penguasaan pasaran EV di Malaysia," katanya.

Berita Harian X