PETALING JAYA: Pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, TC Subaru Sdn Bhd, memperkenalkan empat model Subaru Forester 2023 baharu iaitu 2.0 i-L EyeSight, 2.0 i-L EyeSight GT Lite, 2.0 i-S EyeSight, dan 2.0 i-S EyeSight GT Edition.
Model-model ini dilengkapi dengan sistem keselamatan pencegahan baharu Subaru yang inovatif dan memenangi anugerah EyeSight 4.0 yang lebih intuitif berbanding sebelum ini dengan menjadi sepasang mata tambahan bagi membantu pemanduan di Malaysia.
Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Tan Chong International Limited, Glenn Tan, berkata model ini terkenal dengan ciri keselamatan dan dinamik pemanduannya.
"Forester generasi kelima yang canggih ini dilengkapi dengan kamera stereo baharu yang inovatif yang melihat hampir dua kali ganda berbanding versi sebelumnya, dan pemandu rangkaian Forester baharu ini akan berasa lebih selamat dan selesa.
"Kami berbangga memperkenalkan empat model Forester luar biasa yang memenuhi keperluan kumpulan pemandu di Malaysia serta mengutamakan keselamatan dan prestasi," katanya.
Tan berkata, dengan Sistem Bantuan Pemandu Termaju Subaru EyeSight 4.0, setiap model ini menawarkan pengalaman pemanduan yang terbaik untuk pelanggan katanya.
Katanya, kombinasi unik EyeSight 4.0 yang terkini mempunyai fungsi pemusatan lorong, pencegahan berlepas lorong, brek praperlanggaran dan fungsi lain yang memenuhi separa ADAS Tahap 2 teknologi pemanduan autonomi dan satu lagi lapisan perlindungan dan keselamatan.
"Forester i-L EyeSight menawarkan pengalaman pemanduan yang praktikal, selamat dan selesa untuk pasangan muda yang mempunyai anak dan keluarga yang mencari SUV (kenderaan utilitik sukan) yang luas, serba boleh dan padat.
"Ruang dalamannya yang selesa dan ruang kargo yang luas menjadikannya mudah untuk menampung keluarga yang semakin meningkat untuk tujuan aktiviti seharian atau perjalanan jalan raya hujung minggu," katanya.
Tan berkata, Forester GT Edition adalah kenderaan visual yang bukan sahaja meningkatkan rupa lasak dan dinamik Forester baharu dengan kit GT, malahan meningkatkan prestasi aerodinamik dan menghasilkan pengalaman pemanduan yang membawa kegembiraan kepada pengguna.
"Forester GT memberikan keseimbangan sempurna antara estetika dan kefungsian, menampilkan tayar GT 18 inci yang ditempah khas dan tempat duduk kulit berlapis berlian yang menambah daya tarikan visualnya," katanya.
Subaru Forester 2023 terbabit ditawarkan bermula pada harga RM173,500 untuk Forester 2.0 i-L EyeSight, RM179,500 untuk Forester 2.0 i-L EyeSight GT Lite, manakala RM183,500 untuk Forester 2.0 i-S EyeSight dan RM195,500 untuk Forester 2.0 i-S EyeSight GT Edition.