Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mempamerkan kereta elektrik (EV) konsep pertamanya di Malaysia Autoshow 2023, versi kompak dikenali sebagai EM-O atau Electric Motion Online yang dikatakan menjadi antara hala tuju elektrifikasi masa depan pengeluar kereta nasional itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, berkata EV konsep menjadi visi PERODUA dalam menggabungkan antara tenaga bersih, rekaan menarik, internet dan kemelamatan termaju ke paras lebih tinggi.
Katanya, EM-O mampu bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam (km/j) dengan jarak perjalanan antara 300 hingga 350 kilometer.
"Menggunakan bateri lithium-ion, EM-O boleh dicas dalam masa 7 jam 30 minit. Terdapat juga pilihan cas ultra pantas 300kW di mana cas sehingga 80 peratus dalam masa 20 minit.
"Idea kami untuk memiliki revolusi sebuah kereta daripada model semasa," katanya.
Zainal Abidin berkata, sebahagian spesifikasi EM-O hanya di atas kertas dan terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum kereta elektrik Perodua sebenar boleh diperkenalkan.
"Buat masa ini, kunjungilah Malaysia Autoshow 2023 untuk melihat dengan lebih dekat EM-O," katanya.
Dalam satu sidang media awal tahun ini, Zainal Abidin berkata PERODUA sedang menuju ke arah pengenalan EV dalam tempoh terdekat, seiring dengan langkah yang diambil oleh kebanyakan pengeluar kenderaan lain ketika ini.
Beliau berkata, ketika ini PERODUA berada di peringkat pemerkasaan dan peningkatan operasi vendor-vendor tempatan terlebih dahulu bagi pengeluaran kenderaan EV.
Katanya, ini adalah kerana vendor masih lagi kekurangan pendedahan kepada EV dan teknologi maju disebabkan industri automotif Malaysia masih baru menerima kemasukan teknologi EV.
Bagi melaksanakan perkara itu katanya, PERODUA akan mengenal pasti syarikat global dengan elektrifikasi dan teknologi maju selain meneroka jalinan kerjasama strategik dengan vendor tempatan.
"PERODUA akan meningkatkan keupayaan vendor bagi memastikan semua pihak bersedia untuk kenderaan EV. PERODUA juga sedang meneliti adakah keperluan sebenar EV untuk pasaran domestik ketika ini.
"Masih di peringkat awal, kita akan terus melaksanakan pengukuhan keupayaan vendor. Adalah menjadi hasrat PERODUA untuk berkembang bersama rakan niaga kami dan kami mahu melakukan ini dengan cara yang akan memberi manfaat bersama dan kekal mampan," katanya ketika itu.