SERDANG: Kerajaan akan memanfaatkan keupayaan negara sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E) untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada segmen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) yang berkembang pesat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata antara potensi yang boleh diterokai Malaysia dalam NxGv adalah keseluruhan rantaian nilai yang terdiri daripada semikonduktor, sensor, elektronik automotif, 'transceiver', bateri dan pemasangan kenderaan.
"Justeru, Malaysia perlu memacu ke arah matlamat yang lebih tinggi dalam aspek penembusan kenderaan elektrik (EV) sebelum pergi lebih jauh dalam segmen NxGV.
"Pasaran EV ASEAN diramal berkembang hampir 33 peratus setahun kepada AS$2.7 bilion (RM11.77 bilion) menjelang 2027, daripada hampir AS$500 juta pada 2021. Ini bermakna elektrifikasi menjadi agenda lebih penting dan dari perspektif automotif," katanya ketika berucap pada majlis prapelancaran Malaysia Autoshow 2023, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua setiausaha MITI, Datuk Hanafi Sakri; Pengerusi Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Phang Ah Tong; dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz.
NxGV ialah kenderaan generasi baharu yang menggunakan teknologi internet dan perhubungan bagi menjadikan kenderaan jauh lebih selamat, menjimatkan bahan api dan lebih teratur, sekali gus membolehkan perjalanan semakin pantas.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, 2023 adalah tahun yang menarik untuk mengembangkan industri mobiliti elektrik Malaysia kerana EV telah dikenal pasti sebagai antara penyelesaian teknologi untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Katanya, perkara itu telah ditekankan dalam pelbagai dokumen dasar Kerajaan termasuk Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.
"Kerajaan memahami bahawa walaupun kita mempunyai matlamat yang tinggi dalam memperkasakan mobiliti harian kita, cabaran timbul dalam mencapainya - daripada pemilikan, penggunaan, penyelenggaraan, pembuatan EV, apatah lagi pertukaran bateri, pembangunan standard dan juga hayatnya.
"Kerajaan melalui NAP akan terus melaksanakan penyesuaian untuk mewujudkan ekosistem mesra perniagaan, menggalakkan lebih banyak pelaburan strategik, baik untuk pelabur asing dan juga syarikat tempatan Malaysia," katanya.
Beliau berkata, dengan elektrifikasi, komponen kenderaan akan menjadi lebih mudah dalam pemasangan, tetapi lebih canggih dalam reka bentuk dan pembangunan.
"Untuk memastikan daya saing dalam landskap yang berkembang ini, adalah penting bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan vendor untuk mendapat sokongan yang diperlukan.
"Sokongan ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk akses kepada kepakaran teknologi, sumber penyelidikan dan pembangunan.
"Oleh itu, untuk kekal berdaya saing, adalah penting bagi PKS dan vendor untuk sentiasa dikemas kini dengan kemajuan terkini dan amalan terbaik dalam reka bentuk dan pembuatan komponen EV," katanya.
Sementara itu, merujuk kepada penganjuran Malaysia Autoshow, Tengku Zafrul berkata, pameran terbabit kekal sebagai agenda penting dalam kalendar automotif kami dan menjadi titik hubungan yang menyatukan industri automotif dan orang ramai di bawah satu bumbung.
Malaysia Autoshow 2023 yang juga pameran automotif edisi keenam dianjurkan oleh MARii akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Pameran yang akan dibuka kepada orang ramai mulai esok hingga Ahad ini menampilkan lebih 100 pempamer yang terdiri daripada jenama kenderaan terkemuka termasuk Perodua, Proton, Toyota, Honda, BMW dan Mercedes-Benz.
MARii menyasarkan lebih 200,000 pengunjung bakal menghadiri Malaysia Autoshow 2023 sepanjang empat hari penganjurannya.