Rabu, 3 Mei 2023 | 12:48pm
BMW i4 M50
BMW i4 M50

BMW i4 M50 jentera baharu dibawa ke Malaysia

SERDANG: BMW Malaysia mempamerkan BMW i4 M50 di Malaysia Autoshow 2023, julung kali diperkenalkan di negara ini bersempena ulang tahun ke-50 divisyen sukan permotoran BMW yang paling ikonik tahun lalu.

Ketua Komunikasi Korporat dan Kelestarian BMW Group Malaysia, Sashi Ambi, berkata bagi menginovasi ke arah mobiliti alaf baharu, jenama premium itu akan memastikan aspek teknologi, prestasi, elektrifikasi dan pembangunan lestari terus diberi perhatian, di samping mengekalkan keunikan dan DNA yang sinonim dengan BMW M.

"Sumber hala tuju ini menjurus kepada transformasi yang signifikan, antaranya telah melahirkan kenderaan elektrik BMW M berprestasi tinggi pertama di dunia, yang bakal menambah keterujaan dalam arena automotif," katanya.

BMW i4 M50, kenderaan elektrik (EV) berjata M yang pertama di dunia akan didatangkan dengan Emblem 50 Tahun BMW M secara standard.

Perwatakan sporty jentera ini diserlahkan melalui kelengkapan standardnya seperti pakej MAerodynamics, spoiler belakang M dalam warna badan serta sisipan peresap belakang dalam warna hitam.

Menjengah ke dalam kabin, BMW i4 M50 dihiasi dengan trim dalaman M berserta kemasan trim Carbon Fibre, Material Bumbung Antrasit M, di samping kerusi M Sport di hadapan, tali pinggang keledar M, panel instrumen dalam Sensatec, serta bumbung kaca elektrik.

BMW Iconic Sounds Electric juga membekalkan pengalaman pendengaran dengan menjana bunyi enjin 'M' yang sporty.

BMW i4 M50
BMW i4 M50

Dua motor BMW M eDrive dimuatkan di dalam BMW i4 M50, masing-masing ditujukan untuk gandar hadapan dan belakang.

Konfigurasi ini menjamin daya pacuan semua roda yang dinamik, dengan output luar biasa berjumlah 544 kuasa kuda (hp) serta tork 795 Nm dalam mod Sport Boost.

Pecutan abad dapat dibuat oleh jentera ini dalam masa 3.9 saat sahaja, manakala kelajuan tertingginya pula mencecah 225 kilometer sejam (km/j).

Serasi dengan mod pengecasan AC dan DC, BMW i4 M50 dapat dicas penuh hanya dalam tempoh 8 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW, atau dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tempoh 31 minit sahaja dengan pengecas DC 200 kW.

Pemandu juga boleh menikmati aneka sistem keselamatan yang canggih,meliputi Acoustic Protection for Pedestrians, Active Protection for Pedestrians, Driving AssistantProfessional, Parking Assistant Plus serta Active Protection.

Harga runcit (atas jalan, tanpa insurans) BMW i4 M50 yang sulung dengan waranti lanjutan dan termasuk servis & pembaikan BMW i4 M50 bermula RM445,800.

Berita Harian X