Khamis, 27 April 2023 | 8:04pm
Audi A3 Sedan bukan sekadar menawarkan pemanduan sporty, malah mampu mencetus keterujaan puncak.
Audi A3 Sedan bukan sekadar menawarkan pemanduan sporty, malah mampu mencetus keterujaan puncak.

Audi A3 cukup progresif

Memandu uji sebarang model Audi, tidak pernah mengecewakan, tidak kira 'celah' mana penulis ambil kira termasuk aspek rekaan, apatah lagi membabitkan faktor prestasi.

Baru-baru ini, penulis diberi peluang memandu uji model Audi A3 Sedan, sedan kompak yang memiliki dimensi 4,495 milimeter (mm) panjang, 20 mm, lebih lebar menjadi 1,816 mm dan lebih tinggi iaitu 1,425 mm berbanding model sebelumnya.

Dari aspek kuasa, model ini tampil dengan enjin 2.0 TFSI yang menghasilkan 190PS pada 4,180 hingga 6,000 rpm, manakala tork puncak pula adalah 320 Nm pada 1,500 hingga 3,990 rpm.

Menggunakan kotak gear automatik dual-clutch, 7-kelajuan S tronic dengan pemanduan roda hadapan.

Dari segi kuasa yang diperah jentera ini, penulis tidak merasa kekurangan apatah lagi Audi A3 Sedan ini digunakan untuk perjalanan jarak jauh melebihi 1,000 kilometer.

Sepanjang perjalanan penulis dari Putrajaya ke Gerik, Perak, keupayaan jentera ini diperakui dan dengan kuasa serta tahap responsifnya, ia sangat mencukupi untuk menempuh perjalanan jauh sama ada menggunakan lebuh raya, jalan persekutuan, atau jalan berbukit.

Lebih mengejutkan, tahap penggunaan bahan api juga sangat baik dengan hanya 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer (km) dengan kapasiti bahan api sekitar 51 liter.

Keupayaan sedan Audi tidak pernah mengecewakan pemandu dan penumpang.
Keupayaan sedan Audi tidak pernah mengecewakan pemandu dan penumpang.

Kabin selesa

Keselesaan yang dinikmati penulis turut dirasai oleh penumpang belakang. Terima kasih kepada suspensi topang McPherson (depan) dan Multilink (belakang), di mana penumpang belakang langsung tidak 'loya' menempuh olengan ringan ketika mengambil banyak selekoh di Hulu Perak.

Ruang but yang besar sehingga 425 liter juga sangat membantu.

Dari aspek luaran, Audi A3 Sedan hadir dengan gril Singleframe khas dan lampu nyalaan siang LED yang menyerlahkan lagi karakternya dari mana-mana sudut.

Bagi rekaannya, bahagian hadapan lebih kurang sama dengan A3 Sportback (lampu Matrix LED sebagai pilihan), tapi sedan ini memiliki perbezaan pada bahagian bawah kerangka pintu, sekeliling tingkap dan belakang.

Ciri lain yang memiliki persamaan termasuk lampu belakang LED, rekaan pada bahagian bawah bampar dan sambungan diffuser.

Kit luaran untuk Sedan A3 ialah sentuhan S Line yang sporty dan rim aloi 17 inci dwi 5-jejari yang dibaluti dengan tayar 225/45 R17.

Menjengah ke dalam kabin, Audi A3 Sedan didatangkan dengan upholsteri kulit Nappa yang halus dengan logo trim 'S', dan termasuk stereng pelbagai fungsi sporty tiga jejari dengan paddle shift.

Penulis juga boleh mengakses pilihan pemanduan Audi untuk pelbagai mod pemanduan – efficient, dynamic, comfort, automatic dan individual – serta kokpit maya Audi bersama-sama unit infotainmen skrin sesentuh 10.1 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Aspek keselamatan pula, Audi A3 Sedan didatangkan dengan sistem bantuan pemandu Audi Pre-Sense termasuk menampilkan ciri seperti mitigasi pelanggaran hadapan, bantuan kelajuan adaptif, bantuan lintasan-trafik, dan kamera pandangan sekeliling, serta standard untuk semua model iaitu bantuan mengelak pelanggaran.

Berita Harian X