Rabu, 12 April 2023 | 3:44pm
Tengku Zafrul berucap pada majlis pelancaran Kempen PROTON Rahmah 2023 di Putrajaya, hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad
Tengku Zafrul berucap pada majlis pelancaran Kempen PROTON Rahmah 2023 di Putrajaya, hari ini -NSTP/Hazreen Mohamad

NAP2020 akan disemak semula sesuai keperluan semasa

PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan menyemak semua Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP2020) bagi disesuaikan dengan keperluan semasa industri automotif tempatan dan global.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata keperluan menyemak semula dasar automotif yang digagaskan untuk tempoh 2020-2030 itu adalah untuk memastikan Malaysia kekal kompetitif, relevan dan menjadi peneraju dalam sektor automotif.

"Terdapat banyak perkembangan baharu dalam sektor automotif terutamanya berkenaan kenderaan cekap tenaga dan kenderaan elektrik (EV). Kami mendapat maklum balas daripada pihak industri dan pemegang taruh lain supaya memberi lebih perhatian kepada apa yang terkandung dalam dasar yang dilancarkan sebelum ini.

"Saya memang berpendapat bahawa dalam apa-apa perancangan pun terutamanya yang membabitkan tempoh jangka masa panjang, kita perlu dinamik dan terbuka untuk melaksanakan perubahan yang perlu.

"Kami akan berbincang dalam kementerian dan agensi berkaitan untuk menyemak semula apa yang dibangkitkan pihak industri berkaitan teknologi baharu untuk bukan sahaja kekal relevan malah menjadi yang terbaik," katanya kepada media selepas melancarkan Kempen PROTON Rahmah 2023, di sini, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai inisiatif Kempen PROTON Rahmah 2023, beliau berkata, dengan pelancaran kempen PROTON, pemilik kereta nasional akan dapat memeriksa kereta secara percuma dan membeli pakej perkhidmatan mampu milik, yang akan meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya yang bakal datang.

"Saya berbesar hati kerana PROTON adalah syarikat automotif pertama yang menyokong inisiatif kerajaan, dan saya berharap jenama lain akan mengikutinya untuk mengurangkan kos sara hidup mereka yang paling memerlukannya," katanya.

Berikutan kejayaan pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah yang dilancarkan pada Januari 2023, Tengku Zafrul berkata, kerajaan sedang berusaha untuk mengembangkannya ke sektor lain yang boleh membuat perubahan nyata untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Keputusan PROTON untuk melancarkan Kempen Rahmah adalah selaras dengan usaha kami untuk menawarkan nilai tambahan kepada pelanggan dan adalah penting untuk menyediakan produk dan perkhidmatan mampu milik kepada orang ramai," katanya.

Berita Harian X