Jumaat, 7 April 2023 | 3:01pm
Sardien bersama Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC
Sardien bersama Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC

Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC diperkenal pada harga RM429,888

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah serba baharu iaitu GLC 300 4MATIC bagi mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju segmen SUV premium di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien, berkata model GLC adalah antara pilihan utama pembeli di Malaysia dengan penguasaan pasaran yang sangat baik.

Justeru, beliau berkata dengan pengenalan GLC 300 4MATIC serba baharu pada harga RM429,888, ia dapat memberikan pelanggan di negara ini lebih pilihan kenderaan SUV premium.

"GLC serba baharu untuk pasaran Malaysia ini juga akan meneruskan kisah kejayaan ikoniknya pada masa hadapan. Sebagai SUV terlaris daripada Mercedes-Benz, GLC telah pun mendapat permintaan yang kuat di Malaysia, dengan lebih 12,000 unit dijual sejak 2016.

"Gabungan keseronokan pemanduan dinamik, reka bentuk moden dan ciri lanjutan seperti kokpit luar jalan dan navigasi MBUX Augmented Reality, ia akan memberikan pengalaman pemanduan yang baharu.

"Dengan kawalan yang tiada tandingan ke atas permukaan jalan yang pelbagai, GLC serba baharu menetapkan standard tersendiri dalam SUV mewah," katanya selepas majlis pelancaran GLC 300 4MATIC di sini, hari ini.

Ruangan kokpit Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC
Ruangan kokpit Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC

Sardien berkata, Malaysia sentiasa menjadi pasaran pilihan utama Mercedes-Benz dan menjangkakan sebanyak 20 model serba baharu dan baharu akan dilancarkan pada tahun ini termasuk model kenderaan elektrik (EV).

Beliau berkata, pelancaran baharu pada masa hadapan adalah berdasarkan kepada permintaan berterusan pelanggan terhadap model daripada Mercedes-Benz.

Katanya, Mercedes-Benz Malaysia juga akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik termasuk menyediakan pelbagai tawaran kepada pelanggan setianya seperti yang dilaksanakan bersama dengan Maybank.

"Mercedes-Benz melaksanakan perkongsian eksklusif dengan Maybank bagi memperkenalkan kad kredit yang mengutamakan industri di seluruh negara. Sebagai sebahagian daripada perkongsian ini, Visa, peneraju dunia dalam pembayaran digital, akan menjadi rangkaian pembayaran eksklusif.

Reka bentuk bahagian belakang Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC
Reka bentuk bahagian belakang Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC

"Kad kredit Mercedes-Benz akan menjadi yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia adalah kad yang mempunyai eksklusiviti, gaya dan kemudahan yang diperlukan untuk keperluan pengguna," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services Malaysia, Anamika Talwar, berkata pihaknya teruja untuk melancarkan produk kad kredit pertama dengan Maybank dan Visa, sekali gus melengkapkan pengalaman jenama mewah untuk pelanggan.

"Kad Mercedes-Benz direka untuk memperkayakan pengalaman pemegang kad," katanya.

Naib Presiden Eksekutif Kanan Maybank dan Ketua Kad, Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti, B. Ravintharan pula berkata, Maybank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Mercedes-Benz dan menjadi yang pertama dalam sejarah automotif Malaysia memperkenalkan kad istimewa logam yang menawarkan faedah eksklusif dan mewah kepada pelanggan.

"Sebagai peneraju pasaran untuk kad di Malaysia, Maybank terus menawarkan perkhidmatan yang berteraskan pelanggan dengan tawaran nilai tambah dan produk terbaik dalam kelasnya untuk pelanggan," katanya.

Berita Harian X