Sabtu, 25 March 2023 | 7:14pm
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah

Pengeluar serap SST kereta tak sempat diserah akhir Mac

KUALA LUMPUR: Beberapa pengeluar jenama kereta utama di Malaysia bercadang menyerap cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pelanggan yang membuat tempahan kenderaan sehingga 30 Jun 2022, tetapi tidak dapat menerima kenderaan selewat-lewatnya 31 Mac ini.

Proton Holdings Bhd (PROTON), Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Bermaz Auto Bhd antara yang menyatakan komitmen untuk menyerap SST sekiranya pelanggan yang sepatutnya menerima kenderaan yang ditempah sebelum/pada hujung bulan ini disebabkan masalah yang dihadapi pengeluar.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata pengeluar jenama nasional itu akan membayar SST jika pelanggan tidak menerima kenderaan akibat kelewatan yang disebabkan oleh PROTON.

"Untuk semua pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 Jun 2022, PROTON akan membayar cukai SST jika pelanggan tidak menerima kenderaan akibat kelewatan yang disebabkan oleh kami sendiri," katanya kepada BH.

Roslan berkata, PROTON menjangkakan dapat memenuhi semua tempahan pelanggan kecuali bagi mereka yang gagal mendapat pinjaman dan yang masih dalam proses membuat tempahan nombor pendaftaran sebelum tempoh akhir pendaftaran pada 31 Mac ini.

"Kami anggarkan yang hanya lima peratus daripada tempahan yang diterima adalah dalam kategori ini," katanya.

Setakat Februari, PROTON memiliki tempahan tertunggak lebih 70,000 unit dan dari jumlah itu, Proton Saga adalah model dengan tunggakan tempahan yang tertinggi diikuti Proton X50, Proton Persona dan Proton X70.

Daripada jumlah tempahan PROTON yang tertunggak, 23 peratus membabitkan insentif pengecualian SST.

Jun lalu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pendaftaran bagi menikmati insentif pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023 dapat memberi peluang kepada pembeli memiliki kenderaan pada harga jualan lebih rendah tanpa SST.

Tarikh akhir pengecualian cukai jualan kenderaan penumpang kekal pada 30 Jun 2022, namun tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.

Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan itu adalah satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat serta kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad

Dalam pada itu, PERODUA memiliki tempahan tertunggak 220,000 unit setakat 31 Januari 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad sebelum ini sudah menyatakan komitmen bahawa pengeluar kereta nasional itu akan menyerap kos SST bagi kenderaan yang diserahkan selepas 31 Mac.

Katanya, syarikat memberi fokus untuk memenuhi tempahan dibuat sehingga 30 Jun 2022, pihaknya tidak mampu menyerahkan sepenuhnya bersandarkan kajian dan rancangan yang dilakukan setakat ini.

"Jika pelanggan sudah membuat tempahan bagi menikmati pengecualian cukai jualan, kami harus tanggung cukai jualan itu meskipun mereka terima kenderaan selepas 31 Mac. Kami akan pastikan kerana ia masalah kami yang tidak mampu menyerahkan kereta menjelang 31 Mac. Itu janji yang akan kami tunaikan," katanya.

Berdasarkan perancangan PERODUA, tempahan tertunggak yang dimiliki setakat Januari boleh didaftarkan selewat-lewatnya pada suku ketiga tahun ini.

Bagaimanapun angka 220,000 unit tempahan setakat Januari lalu, bukan semuanya adalah tempahan yang menikmati insentif pengecualian SST.

Sementara itu, AmInvestment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, Bermaz Auto akan menyerap 50 peratus daripada SST untuk kereta Mazda sehingga akhir Disember dan sedang menyemak strategi yang sama setiap bulan untuk kereta Kia dan Peugeot.

Berita Harian X